Sekilas
- Khai memuji persembahan Aliff Kimiey yang berjaya menghidupkan lagu klasiknya, ‘Dambaan Pilu’, yang sudah berusia 23 tahun, di konsert ketiga Big Stage Rocketfuel.
- Juri Aisha Retno memberikan komen positif terhadap penghayatan Aliff, namun menasihatkan supaya lebih all out dan pelbagaikan pergerakan ketika persembahan.
- Sabrina diumumkan tersingkir minggu ini, manakala Adam Nazmie menduduki tempat pertama dengan markah tertinggi, dalam pertandingan yang menampilkan 11 peserta.
Penyanyi, Khai memuji persembahan bintang Big Stage Rocketfuel, Aliff Kimiey yang membawakan lagu nyanyiannya, ‘Dambaan Pilu’, di konsert ketiga yang berlangsung pada Ahad.
Menerusi perkongsian di media sosial, Khai memuji kualiti nyanyian Aliff kerana berjaya menghidupkan semula lagu tersebut.
Lebih manis lagi, Khai juga memaklumkan lagu ‘Dambaan Pilu’ itu sudah berada selama 23 tahun dalam industri muzik.
“Dambaan Pilu dah 23 tahun, Big Stage 2026. Sedap! Tahniah Aliff Kimiey,” coretnya.
Sementara itu, Aliff juga dilihat turut membalas hantaran tersebut dengan mengucapkan terima kasih kepada Khai kerana sudi menonton dan memberikan kata-kata semangat.
“Terima kasih abang Khai! Izin ya bang,” coretnya.
Dalam pada itu, persembahan Aliff juga menerima komen positif daripada juri, Aisha Retno.
“Saya puji penghayatan cuma part chorus pada saya awak kena all out lagi. Kemudian, awak kena pelbagaikan lagi pergerakan awak supaya penonton rasai kepiluan awak itu.
“Pitching juga kena jaga-jaga dan hati-hati tetapi secara amnya saya suka dengan persembahan awak,” komennya.
Minggu ketiga Big Stage Rocketfuel menyaksikan Sabrina diumumkan sebagai peserta kedua yang tersingkir.
Manakala, kedudukan pertama pula menjadi milik Adam Nazmie menerusi lagu Raikan Cinta nyanyian Datuk M. Nasir dengan markah tertinggi iaitu 74.33 peratus.
Seramai 11 peserta yang bersaing pada musim ini terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina, duo Adam & Nazmie serta finalis TTMM2 iaitu Hussain yang dipilih menerusi ‘Exclusive Spot’.
Hadiah itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, jangan lupa untuk saksikan Big Stage X Rocketfuel setiap hari Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.