Sekilas
- Rieffa dari Big Stage X Rocketfuel tidak ambil hati apabila wajahnya disamakan dengan etnik Rohingya dan menerima komen tersebut dengan terbuka.
- Rieffa menjelaskan dia mempunyai darah kacukan mamak dari sebelah datuknya dan menganggap komen itu sebagai pemangkin semangat.
- Ibu Rieffa, Ayu Kepoh, yang juga pempengaruh media sosial, tampil mempertahankan anaknya dan sangat terkesan dengan komen negatif tersebut.
Bintang program Big Stage X Rocketfuel, Rieffa tidak mengambil hati selepas rupa parasnya disamakan seperti etnik Rohingya oleh seorang individu di media sosial, baru-baru ini.
Ujar Rieffa, dia menerima perkara tersebut dengan hati yang terbuka malah memahami mengapa komen sebegitu dilemparkan terhadap dirinya.
Perjelas Rieffa, dia memiliki darah kacukan mamak daripada sebelah datuknya.
“Sebenarnya saya ada baca juga komen tu, dan saya okey saja, saya terima saja. Walaupun dia cakap saya macam itu tapi tak mengapa. Apa-apa pun, mak saya yang bersuara… bukan saya.
“Saya terima sebab saya pun ada kacukan di sebelah datuk saya, dia keturunan mamak. Jadi, saya memang ada kacukan,” katanya kepada Gempak.
Rieffa berkata demikian ketika ditemui usai konsert minggu ketiga Big Stage X Rocketfuel pada Ahad.
Tambah Reiffa, dia tidak berasa tertekan, sebaliknya menganggap ia sebagai satu pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik dalam pertandingan.
“Saya okey saja dengan komen itu. Saya ambil sebagai pemangkin semangat saja.
“Saya layan semua komen orang. Mereka nak cakap apa pun, saya tak rasa down pun,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Rieffa berkata ibunya yang juga pempengaruh media sosial, Ayu Kepoh sangat terkesan membaca komen tersebut.
“Mak saya sangat terkesan sebab dia yang lahirkan saya. Bila orang cakap macam itu, mak saya memang kecewa.
“Saya pun ada IC, saya warganegara Malaysia. Jadi bila orang cakap macam itu, memang mak saya akan habis-habisan bersuara.
“Nama pun Ayu Kepoh, mestilah kaki kepoh,” selorohnya.
Ditanya mengenai sumber kekuatan, Rieffa menjelaskan bahawa dia sudah terbiasa berdepan kecaman sejak kecil lebih-lebih lagi apabila ibunya mula bergelar pencipta kandungan sekitar tahun 2020.
“Daripada kecil saya dah tengok mak kena kecam. Masa remaja memang rasa geram juga.
“Tapi bila dah besar, saya sedar itu pendapat mereka dan kita cuma perlu terima saja.
“Benda itu tak buat saya down pun sebenarnya,” katanya.
Terdahulu, tular satu hantaran dibuat seorang individu yang menyamakan rupa paras Rieffa dengan etnik Rohingya.
Tidak berdiam diri, ibu kepada Rieffa iaitu Ayu Kepoh tampil mempertahankan anaknya itu dengan meninggalkan komen di hantaran berkenaan.