Sekilas
- Hussain dari Big Stage X Rocketfuel berjanji akan beri yang terbaik selepas dikecam kerana makan durian yang dikhuatiri menjejaskan suara.
- Dia jelaskan niat hanya nak rasa durian bersama rakan peserta dan akui insiden itu menyebabkan dia ditegur guru vokal, Cikgu Shafi.
- Big Stage X Rocketfuel menampilkan 10 peserta yang bersaing untuk memenangi kontrak pembangunan artis bernilai sehingga RM200,000, disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria.
Bintang Big Stage X Rocketfuel, Hussain berjanji akan memberikan yang terbaik sepanjang penyertaannya dalam program berkenaan selepas ada peminat yang meluahkan rasa kecewa dengan tindakannya yang menikmati durian, baru-baru ini.
Menurut Hussain, dia sendiri terkejut apabila ramai peminat meluahkan rasa kecewa kerana bimbang boleh menjejaskan kualiti suaranya sepanjang pertandingan.
“Sewaktu saya buat sesi siaran langsung, ada peminag cakap, ‘Hussain, kami sayang kamu. Kenapa kamu makan durian juga?’
“Saya nak rasa sikit saja, bukan saya makan satu biji pun. Makan sikit saja sebab nak rasa.
“Jadi, saya berjanji dengan mereka, insya-Allah saya akan buat yang terbaik. Saya janji dengan mereka,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa yang sama, anak kepada penyanyi Jamilul Hayat ini sempat berkongsi situasi sebenar yang berlaku sehingga dia ditegur guru vokal, Cikgu Shafi.
“Yang tular mengenai insiden saya dimarah Cikgu Shafi itu betul. Saya sebenarnya nak rasa ja tapi tak tahu pula satu hotel bau.
“Saya niat baik, tak nak makan seorang dan nak makan dengan Adam dan Nazmie. Saya di tingkat 19 dan mereka pula dekat tingkat 17. Jadi saya fikir kalau kena, kena sekali,” ujarnya.
Mengulas mengenai sokongan luar biasa yang diterimanya, Hussain menganggap faktor keakraban bersama bapanya membuatkan ramai peminat mengambil nerat terhadap dirinya.
“Mungkin (sokong peminat) itu adalah kesan daripada ayah saya juga. Ramai cakap saya layan ayah saya dengan baik.
“Mungkin ada orang yang dah tak ada ayah, bila mereka tengok hubungan kami, mereka rasa seronok. Jadi saya harap dengan saya berbuat baik kepada ayah, orang ramai pun boleh ikut perkara yang sama,” katanya lagi.
Sepanjang lapan minggu pertandingan, para peserta bakal berentap dengan tiga pemenang utama bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.
Seramai 10 peserta bakal bersaing pada musim ini terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie.
Hadiah itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, jangan lupa untuk saksikan Big Stage X Rocketfuel setiap hari Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.