Sekilas
- Ranisha dari Big Stage Rocketfuel terbuka menerima komen tentang penampilannya dan melihatnya sebagai tanda orang ambil berat.
- Dia bercadang untuk lebih menitikberatkan penampilan dalam karya baru sambil menghormati keputusan masing-masing tentang kesihatan dan gaya hidup.
- Ranisha berkongsi cabaran kehilangan nenek tercinta yang memberi kesan emosi ketika dia menuju ke pentas akhir BSR.
Bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Ranisha mengakui terbuka menerima komen mengenai penampilannya.
Menurut Ranisha, dia tidak menganggap pandangan tersebut sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya melihatnya daripada sudut positif kerana beranggapan individu yang memberikan teguran mungkin mengambil berat terhadap dirinya.
“Saya sangat sayangkan diri saya, jadi kalau ada orang suruh kuruskan sedikit atau apa-apa pun, saya terima komen itu secara terbuka. Bagi saya, apabila orang berkata begitu, bermakna mereka ambil berat mengenai saya,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Ranisha tidak menolak kemungkinan untuk lebih menitikberatkan aspek penampilan apabila menghasilkan karya baharu pada masa akan datang.
“Jadi mungkin selepas ini kalau nak keluarkan karya baharu, pada masa sama saya boleh jaga dari segi penampilan juga. Kira kena seiring.
“Bagi saya, benda itu keputusan masing-masing. Kalau saya nak sihat, tidak bermakna benda itu tidak sihat adalah keputusan mereka. Kita kena hormati keputusan masing-masing dan saya pun ada keputusan sendiri,” ujarnya.
Mengakui dirinya seorang yang gemar menikmati makanan, Ranisha bagaimanapun percaya tabiat tersebut tidak bermakna seseorang itu tidak mampu menurunkan berat badan sekiranya mempunyai disiplin dan usaha.
“Saya suka makan! Siapa kata kuat makan tak boleh kurus? Bagi saya, ini juga bagus kerana ia boleh meningkatkan stamina dari segi vokal dan ketahanan suara supaya saya sentiasa sihat.
“Insya-Allah, kita tengok nanti macam mana,” tambahnya.
Sementara itu, Ranisha juga mengakui perjalanannya membina nama dalam industri tidak mudah.
Menurutnya, antara cabaran yang paling sukar dia hadapi ialah kehilangan orang tersayang yang menjadi penyokong kuatnya sepanjang kerjayanya.
Menuju ke pentas akhir BSR, Ranisha juga dikejutkan dengan berita kehilangan nenek tercinta.
“Minggu lalu saya kehilangan nenek, jadi memang berat untuk saya melakukan persembahan dan mengawal emosi.
“Mereka adalah orang yang sentiasa menyokong saya sejak kecil. Bila saya masuk televisyen saja, mereka cukup berbangga dengan saya,” kongsinya.