Sekilas
- Danial Kifli dari Big Stage Rocketfuel tidak terasa hati dengan teguran tegas daripada juri jemputan, Datuk Ramli M.S.
- Danial memahami gaya teguran Tok Ram yang straight forward dan menganggapnya sebagai peluang untuk memperbaiki diri.
- Datuk Ramli M.S menegaskan komen yang diberi adalah untuk membantu peserta kenal pasti kelemahan dan bukan untuk mengutuk.
Bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Danial Kifli mengakui tidak terasa hati dengan teguran yang diberikan oleh juri jemputan, Datuk Ramli M.S
Menurut Danial, teguran sebegitu bukan sesuatu yang asing buat dirinya kerana pengalaman tersebut turut dirasai sewaktu kelas vokal yang dia hadiri.
“Macam saya, so far saya okay. Bagi saya selagi tidak menghina dan berbaur agak kejam saya okay sahaja, kalau saya di kelas vokal pun lebih kurang sama.
“Pada saya tenaga pengajar ini ada karakter masing-masing, ada yang lemah lembut, ada juga yang straightforward, tapi apa-apa pun yang mereka cakap itu semua hanya mahu memberikan semangat, kesedaran untuk memberi penambahbaikan dalam persembahan,” katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai cara Ramli M.S memberikan komen, Danial berkata dia memahami karakter juri berkenaan yang dikenali dengan gaya teguran yang lebih tegas dan berterus terang.
Namun begitu, Danial percaya setiap nasihat yang disampaikan mempunyai maksud yang baik.
“Tok Ram ini orang lama, dia tak macam kita, cakap lemah lembut. Tapi nasihat dia itu lemah lembut, cuma pendengaran kita kasar. Dia pun bagi kata-kata semangat hujung-hujung itu,” ujarnya.
Danial turut menegaskan bahawa dirinya langsung tidak berkecil hati dengan teguran yang diterima, sebaliknya menganggap komen daripada individu berpengalaman seperti Tok Ram sebagai satu peluang untuk melihat kelemahan yang mungkin tidak disedarinya sendiri.
“Saya tak terasa cuma apa yang saya dapat tadi betul, kadang-kadang kita tak nampak kesalahan kita, cuma orang yang pakar macam dia nampak kesalahan itu. Apa yang saya boleh cakap, ada hikmah bila dia tegur kalau tidak saya tak nampak kesalahan saya. Dan saya akan cuba untuk memperbaiki bila di luar sana nanti,” tambahnya.
Terdahulu, Datuk Ramli MS atau lebih mesra disapa Tok Ram menjelaskan komen yang diberikan terhadap enam peserta pada minggu akhir program Big Stage X Rocketfuel pada malam Ahad bukanlah bertujuan untuk mengutuk atau memperlekehkan kemampuan mereka.
Sebaliknya, pemilik nama Ramli Mohd Salleh ini menjelaskan bahawa setiap teguran yang diberikan adalah sebahagian daripada perkongsian ilmu untuk membantu kesemua peserta mengenal pasti kelemahan sekali untuk mereka perbaiki di masa akan datang.