Sekilas
- Ranisha dari Big Stage Rocketfuel terharu menerima komen dan nasihat daripada Noraniza Idris mengenai persembahannya.
- Dia menerima teguran itu secara positif dan berjanji akan memperbaiki penghayatan serta penyampaian irama Malaysia.
- Ranisha mengakui masih baru dalam genre irama Malaysia dan bercadang untuk mendalami ilmu serta mencari guru yang sesuai.
Bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Ranisha meluahkan rasa terharu selepas menerima komen serta nasihat daripada Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris berkaitan persembahannya di program tersebut.
Menurut Ranisha, teguran tersebut diterima secara positif dan dijadikan sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan, khususnya dalam penghayatan serta penyampaian irama Malaysia.
“Saya rasa sangat terharu apabila menerima komen dari Ratu Irama Malaysia, Kak Ani.
“Saya mengambil nasihat untuk memperbaiki kesilapan saya dan insyaAllah di luar sana saya akan menitik beratkan tentang irama Malaysia lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Ranisha mengakui dirinya masih baharu dalam dunia irama Malaysia dan memerlukan lebih banyak masa untuk mendalami genre tersebut.
“Saya akan lebih mendalami nanti lagi and then cari cikgu yang betul ke. Sebab saya pun r belajar dalam masa yang singkat. Saya baru setahun terjun dalam irama Malaysia ni.
“Jadi, saya mengambil nasihat itu dan um... akan belajar lagi tentang irama Malaysia. Insya-Allah,” tambahnya.
Terdahulu, penyanyi, Noraniza Idris mengingatkan penyanyi supaya lebih berhati-hati ketika melakukan improvisasi dan lenggok vokal khususnya apabila membawakan lagu yang mempunyai identiti etnik tertentu.
Menurut Noraniza, lenggok dalam nyanyian tradisional bukan sekadar hiasan vokal, sebaliknya perlu mempunyai kaitan rapat dengan bahasa muzik dan karakter bunyi sesuatu kaum.