Sekilas
- Pelakon Qistina Khaled gembira menerima pencalonan Artis Baharu Popular di ABPBH ke-38 walaupun sudah 8 tahun dalam industri.
- Dia berkongsi rasa terkilan kerana masih dianggap sebagai artis baharu, berbeza dengan calon lain yang lebih baru dalam bidang seni.
- Qistina menegaskan dia masih banyak perlu belajar dan tidak mempertikaikan kelayakan calon lain, sambil merenung perjalanan kerjayanya sendiri.
Gembira menerima pencalonan Artis Baharu Popular, menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-38, pelakon Qistina Khaled bagaimanapun mengakui terselit rasa terkilan apabila mengenangkan perjalanan seninya yang sudah memasuki tahun kelapan.
Qistina berkata, pencalonan tersebut merupakan satu penghormatan yang disyukuri, namun pada masa sama membuatkan dia tertanya-tanya bilakah dirinya akan dilihat lebih daripada sekadar artis baharu.
“Saya sebenarnya gembira sangat apabila dapat tahu tercalon untuk Artis Baharu Popular ABPBH 38. Ia satu penghormatan dan saya sangat bersyukur. Cuma pada masa sama, ada sedikit rasa terkilan yang susah hendak dijelaskan.
“Sejak beberapa tahun lalu ketika baru masuk industri, saya masih berada dalam kategori lebih kurang sama, ‘artis BBNU’. Sekarang apabila tengok calon lain, kebanyakannya memang masih baharu dalam industri. Ada yang baru setahun, ada yang baru mula tahun ini,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Bagaimanapun, Qistina menegaskan dia tidak mempertikaikan kelayakan calon lain, sebaliknya menyifatkan mereka sebagai individu berbakat yang berhak berada dalam senarai berkenaan.
Katanya, luahan tersebut juga bukan bermaksud dia merasakan dirinya sudah lama dalam industri atau layak menerima pencalonan dalam kategori lebih besar.
“Bukan hendak kata saya sudah lama atau rasa layak berada dalam kategori lebih besar. Tidak.
“Sejujurnya, lapan tahun bukanlah apa-apa. Masih terlalu banyak yang saya tidak tahu, masih banyak yang perlu saya belajar dan perbaiki. Perjalanan saya pun masih jauh,” ujarnya.
Dalam masa sama, Qistina mengakui ada ketika dia memikirkan perkembangan kerjaya sendiri, terutama apabila melihat rakan seperjuangan sudah melangkah lebih jauh.
“Cuma kadang-kadang saya tertanya, bila agaknya orang akan nampak saya lebih daripada sekadar artis baharu?
“Kawan-kawan lain sudah pergi lebih jauh dan saya gembira untuk mereka. Cuma sebagai manusia, mestilah ada masanya kita merenung perjalanan sendiri,” luahnya.
Sumber: Threads