Sekilas
- Ashhry Atan berkongsi pengalaman sukar apabila restoran pertamanya di Nong Chik Riverside pernah terkena gangguan sihir dan menjadi mangsa rompakan.
- Perompak bersenjatakan parang memecah masuk restoran awal pagi dan mencuri petty cash, namun suspek berjaya ditangkap dalam masa beberapa hari dengan bantuan polis Johor.
- Ashhry kini membuka cawangan kedua di R&F Santorini dengan konsep Santorini Mediterranean, mengekalkan citarasa tempatan dan terus membina empayar perniagaannya.
Di sebalik kejayaan membuka cawangan kedua restoran Ashhryshoshedap R&F dengan pelaburan kira-kira RM1.8 juta, pempengaruh dan usahawan Ashhry Atan mendedahkan pernah melalui detik hitam apabila premisnya didakwa terkena gangguan sihir selain menjadi mangsa rompakan.
Menurut Ashhry, kejadian tersebut berlaku ketika awal pembukaan restoran pertamanya di Nong Chik Riverside, kira-kira satu hingga dua tahun selepas beroperasi.
“Ya Allah, bila cakap pasal sihir dan rompak ni, rasa sedih sangat. Masa mula-mula buka dekat Nong Chik dulu, selepas setahun dua, saya kena sihir.
“Orang hantar telur yang ada gumpalan benang, orang tabur duit syiling depan kedai dan dalam bekas-bekas. Staf hari-hari bergaduh. Pantang cakap sikit, terus nak bertumbuk. Rasa ada benda tak kena,” katanya.
Tambahnya, keadaan menjadi semakin pelik apabila pelanggan terutama kanak-kanak turut menunjukkan reaksi luar biasa ketika berada di dalam premis.
“Mak saya tolong tengokkan dan memang betul ada orang hantar ‘benda’. Budak-budak masuk kedai pun menangis-nangis, rasa panas.
“Tapi Alhamdulillah kita tawakal dan berdoa, akhirnya benda tu hilang. Tapi dugaan tak berhenti di situ. Baru-baru ini kedai kena rompak pula,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ashhry berkata kejadian rompakan berlaku pada awal pagi apabila seorang lelaki bersenjatakan parang memecah masuk ke dalam restoran.
“Kejadian berlaku pukul 3:48 pagi. Pencuri tu bawa parang, dia tetak pintu kaca, dia masuk dan pecahkan laci kaunter.
“Dia ambil duit. Masa tu kita tinggalkan peti cash dalam RM600 untuk tukaran duit pagi, dia ambil semua. Kerugian termasuk pintu yang pecah dalam RM5,000 juga.
“Tapi Alhamdulillah kita ada insurans dan polis Johor pun sangat efisien, dalam dua hingga tiga hari perompak tu dapat ditangkap. Rupanya dia penagih dadah,” katanya.
Menurut Ashhry, segala ujian yang dilalui dianggap sebagai sebahagian daripada perjalanan dalam membina empayar perniagaan.
“Mungkin semua ujian pahit ini adalah hikmah sebelum saya buka cawangan mega dekat R&F Santorini ini. Ini semua sebahagian daripada perjalanan bisnes saya,” katanya.
Dalam pada itu, Ashhry tetap meneruskan perancangan membuka cawangan baharu dengan konsep Santorini Mediterranean di Princess Cove, Johor Bahru.

Acara tersebut turut dihadiri rakan-rakan selebriti dan pempengaruh seperti Rozita Che Wan, Zain Saidin, Nabil Mahir, Ayda Jebat dan Cik Epal.

Restoran tersebut menggunakan gabungan rona biru dan putih sebagai identiti utama, namun masih mengekalkan cita rasa tempatan dengan menu seperti sambal belacan, ikan goreng dan asam pedas.
Untuk rekod, Ashhryshoshedap pernah dinobatkan sebagai Johor The Best Restaurant 2025 dengan antara menu popularnya ialah hidangan berasaskan telur masin, asam pedas ikan pari serta pencuci mulut unik, Kura-Kura Mencintaimu.