Skip to main content

Hiburan

Bila Cinta Jadi Muslihat, Griya: Rahsia Seorang Lelaki Buat Penonton Tak Senang Duduk

Astrogempak GRIYA

Sekilas

  • Drama bersiri terbaharu iQIYI Malaysia, Griya: Rahsia Seorang Lelaki, mengisahkan Sophia, seorang peguam yang menyamar menjalinkan hubungan cinta dengan Razman untuk menyiasat kematian bekas isterinya.
  • Drama ini menggabungkan elemen thriller psikologi, misteri dan konflik emosi, menampilkan jalan cerita yang penuh suspen dan persoalan moral.
  • Penonton boleh menonton siri ini secara eksklusif di aplikasi iQIYI, dengan pilihan marathon untuk mengikuti keseluruhan cerita yang mendebarkan.

Bayangkan seorang wanita yang sanggup menjalinkan hubungan cinta berasaskan muslihat demi membongkar satu kebenaran. Namun, bagaimana pula jika lelaki yang disiasat itu perlahan-lahan berjaya mencuri hatinya?

 

Itulah premis menarik yang dibawakan menerusi drama bersiri terbaharu iQIYI Malaysia, Griya: Rahsia Seorang Lelaki, terbitan Skop Productions yang menggabungkan elemen thriller psikologi, misteri dan konflik hubungan dalam satu penceritaan yang mendebarkan.

 

Drama yang mula ditayangkan pada 9 Mei 2026 di platform iQIYI itu mengisahkan Sophia lakonan Chacha Maembong, seorang peguam yang bekerjasama dengan Detektif Liana lakonan Scha Alyahya untuk menyiasat Razman (Nazim Othman), seorang duda kaya yang disyaki terlibat dalam kematian dua bekas isterinya.

 

Demi mendapatkan bukti, Sophia sanggup menjalinkan hubungan cinta palsu dengan Razman. Namun, misi yang pada awalnya tampak mudah mula menjadi rumit apabila dia perlahan-lahan terperangkap dalam perasaan sendiri. Dalam keadaan itu, Sophia terpaksa memilih sama ada untuk menegakkan keadilan atau melindungi lelaki yang mungkin menyimpan sisi gelap yang berbahaya.

 

Menurut Pengarah Urusan iQIYI Malaysia, Singapura dan Indonesia, Dinesh Ratnam, pihaknya sentiasa memantau trend tontonan, perbualan di media sosial serta perubahan citarasa penonton bagi memastikan kandungan yang ditawarkan sentiasa relevan.

 

“Pada masa sama, kami juga bekerjasama rapat dengan penerbit tempatan untuk menghasilkan kandungan yang lebih moden, segar dan dekat dengan realiti masyarakat hari ini, sambil mengekalkan nilai hiburan yang kuat,” katanya.

 

Tambah Dinesh, Griya: Rahsia Seorang Lelaki bukan sekadar kisah cinta atau rumah tangga biasa, sebaliknya sebuah permainan psikologi yang sarat dengan suspen dan rahsia.

 

“Drama ini menawarkan gabungan thriller, misteri dan konflik emosi yang jarang diterokai dalam drama tempatan. Setiap episod akan membuatkan penonton terus tertanya-tanya siapakah Razman sebenarnya dan apakah kebenaran yang tersembunyi di sebalik Griya.

 

“Drama ini disasarkan kepada penonton dewasa muda dan peminat cerita berintensiti tinggi, khususnya mereka yang gemarkan thriller, misteri dan drama hubungan yang kompleks. Mesej utamanya adalah tentang kepercayaan, manipulasi dan bagaimana seseorang yang kelihatan sempurna boleh menyimpan sisi gelap yang tidak dijangka,” ujarnya.

 

Sementara itu, Penerbit dan Pengarah Urusan Skop Productions, Shamin Yusof berkata, naskhah berkenaan menawarkan sesuatu yang segar kepada penonton tempatan kerana mengetengahkan genre thriller psikologi yang jarang diterokai.

 

“Di Skop Productions, kami sentiasa mahu mencuba sesuatu yang luar biasa. Menerusi drama ini, kami keluar sedikit daripada kebiasaan genre aksi, drama dan seram.

 

“Kali ini kami bermain dengan elemen psikologi, emosi dan persoalan moral. Kami mahu menghidangkan sesuatu yang segar dan berbeza untuk penonton Malaysia, sebuah cerita yang akan membuatkan mereka berfikir tentang erti cinta dan kesetiaan,” katanya.

 

Menurut Shamin, antara kekuatan utama drama tersebut ialah jalan cerita yang sentiasa membuatkan penonton tertanya-tanya tentang apa yang bakal berlaku seterusnya.

 

Mengulas mengenai cabaran pembikinan drama itu, beliau mengakui proses pembangunan naskhah merupakan antara aspek paling mencabar kerana setiap elemen perlu dirancang dengan teliti agar mampu mengekalkan minat penonton sehingga episod terakhir.

 

“Selain itu, pemilihan pelakon juga mencabar kerana kami perlu memastikan setiap pelakon benar-benar memahami dan menghidupkan watak masing-masing,” katanya.

 

Bagi pengarah Faisal Ishak pula, kejayaan sesebuah drama bergantung kepada sejauh mana para pelakon mempercayai dunia dan emosi yang dibina dalam sesebuah cerita.

 

“Sebagai pengarah, saya percaya sesebuah cerita hanya akan hidup apabila para pelakonnya percaya pada dunia yang kita bina.

 

“Harapan saya adalah agar penonton dapat merasai sesuatu selepas menonton drama ini. Kadang-kadang kita terlalu fokus untuk menghasilkan cerita yang besar, tetapi bagi saya, cerita yang meninggalkan kesan paling lama ialah cerita yang dekat dengan hati penonton.

 

“Saya juga berharap drama ini dapat menunjukkan bahawa karya tempatan mempunyai identiti dan suara tersendiri yang mampu pergi lebih jauh. Platform mungkin berubah, cara menonton mungkin berubah, tetapi cerita yang jujur akan sentiasa menemui penontonnya,” katanya.

 

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan minggu-minggu terakhir Griya: Rahsia Seorang Lelaki secara eksklusif di aplikasi iQIYI. Lebih menarik, penonton juga boleh menonton keseluruhan siri tersebut secara marathon di platform berkenaan.

SINOPSIS 

Mengisahkan Sophia, seorang peguam yang berganding bahu bersama Detektif Liana untuk menyiasat Razman, seorang duda kaya yang disyaki membunuh dua bekas isterinya. Sophia menyelinap masuk ke dalam hidup Razman dan percintaan palsu membawa mereka ke perkahwinan, di mana Sophia menyusup ke rumah Razman untuk membongkar segala rahsianya. 

Namun, kehidupan bersama Razman mula mengelirukan Sophia apabila lelaki itu perlahan-lahan mencuri hatinya. Kini, Sophia perlu memilih antara menegakkan keadilan atau melindungi lelaki yang mungkin sebenarnya berbahaya.

Must Watch Video

Advertisement