Sekilas
- Ilya Buang atau Pak Ya mengakui rasa terasing dalam kumpulan Senario kerana kurang aktif dan kurang buat lawak menyakat seperti ahli lain.
- Pak Ya kini lebih sensitif dan kurang selesa menggunakan pendekatan lawak menyakat kerana faktor usia dan sifat penyayang selepas ada cucu.
- Senario akan mengadakan konsert mega The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun pada 25 April di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Anggota kumpulan Senario, Ilya Buang mengakui dirinya berasa sedikit terasing bersama ahli kumpulan yang meskipun mereka tidak mempunya sebarang masalah.
Menurut Ilya yang lebih mesra disapa Pak Ya, perasaan itu ada kalanya hadir mungkin kerana dia tidak seaktif ahli kumpulan Senario yang lain ketika membuat persembahan.
"Apabila nak buat persembahan, kadang-kadang saya risau sebab saya tak ‘seligat’ macam mereka. Kadang-kadang rasa terasing. Tapi saya selalu cakap yang kalau ada persembahan dan mereka tak undang saya, saya tak kisah.
"Mungkin sebab saya agak pasif, kurang bercakap dan kurang buat lawak menyakat.
"Bila dah berumur, timbul macam-macam persoalan dalam diri, sesuai ke lagi saya buat lawak macam itu,"katanya kepada Gempak.
Tambah Pak Ya, dia juga berasa kurang selesa untuk menggunakan pendekatan menyakat dalam berlawak memandangkan dirinya sudah semakin meningkat usia.
"Siapa pun pelawak, salah satu perangai yang jadikan mereka pelawak adalah suka menyakat. Tapi saya dah kurang perkara macam itu. Mungkin sebab saya dah ada cucu jadi lebih penyayang, tak suka sakiti hati orang.
"Tapi ada juga orang yang rasa ‘kurang ajar’ itu kelakar. Saya selalu cakap dengan Sepahtu pun macam itu, mereka ini kalau tak ‘kurang ajar’, tak kelakar.
"Senario pun sama, dah tua-tua pun perangai tetap macam dulu," ujarnya berseloroh.
Walau bagaimanapun, Pak Ya terharu dengan rakan-rakn seperjuangannya yang sentiasa memberi sokongan dan sama sekali tidak pernah meminggirkannya.
"Saya sekarang cepat sensitif. Bunyi seruling pun boleh buat saya menangis. Dulu tak ada apa-apa pun, mungkin faktor usia buat jiwa saya lebih lembut.
"Anggota Senario lain selalu beri semangat. Mereka tak pernah cakap apa-apa negatif.
"Saya sendiri yang rasa begitu sebab saya dah tak larat sangat nak turun naik pentas atau kejar orang sana sini dan buat lawak menyakat orang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Pak Ya bersama anggota Senario lain iaitu Azlee Jaafar, Saiful Apek, Yassin Yahya, Lan Pet Pet dan Wahid bakal membuat kemunculan dalam konsert mega The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun.
Konsert anjuran Dreamscape Events dan terbitan Kapla Entertainment tersebut dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 25 April tahun depan.