Sekilas
- Sir Patrick Stewart, pelakon terkenal Britain yang dikenali melalui watak Kapten Jean-Luc Picard dalam Star Trek dan Profesor X dalam X-Men, meninggal dunia pada usia 86 tahun di Los Angeles selepas menghadapi penyakit Alzheimer dan Lewy Body Dementia.
- Beliau memulakan kerjaya lakonan sejak usia 18 tahun dan mencapai kemuncak populariti melalui Star Trek: The Next Generation serta filem X-Men, meninggalkan legasi besar dalam dunia hiburan global.
- Stewart menerima gelaran "Sir" pada 2010 dan dikenang sebagai pelakon yang berjaya menghubungkan dunia teater Shakespeare dengan budaya popular moden, serta meninggalkan impak mendalam kepada peminat di seluruh dunia.
Pelakon terkenal Britain, Sir Patrick Stewart yang sinonim dengan watak Kapten Jean-Luc Picard dalam siri Star Trek dan Profesor Charles Xavier menerusi francais X-Men dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Berita pemergian aktor berkenaan diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikongsikan oleh wakilnya, Kelly Bush Novak.
Menurut kenyataan tersebut, Patrick menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Los Angeles pada Rabu, dalam jagaan isterinya, Sunny Ozell.
Pemergiannya berlaku selepas Patrick melalui tempoh singkat berdepan penyakit Alzheimer dan demensia badan Lewy (Lewy Body Dementia).
“Kami dengan penuh dukacita mengumumkan pemergian Sir Patrick Stewart semalam di kediamannya di Los Angeles, dalam jagaan penuh kasih isterinya, Sunny, selepas melalui perjalanan singkat tetapi bermakna melawan penyakit Alzheimer dan Lewy Body Dementia.
“Beliau sentiasa dikelilingi kasih sayang keluarga dan sahabat handai, ditemani alunan muzik secara langsung, doa, air mata, gelak tawa serta emosi mendalam yang hanya mampu dicetuskan olehnya selepas seumur hidup mencurahkan bakti kepada kami semua.
“Kami akan sentiasa mengenang ketenangan dan ketenteraman pada wajahnya, sebagai peringatan terhadap keanggunan dirinya yang tidak pernah luntur,” menurut kenyataan tersebut.
Menerusi kenyataan sama, keluarga turut menyifatkan suara serta bakat Patrick sebagai sesuatu yang akan terus dikenang menerusi pelbagai watak hebat yang pernah dijayakannya.
“Beliau meneroka sisi kemanusiaan dalam segala kerumitan dan keindahan, selain membawa harapan bukan sahaja ke seluruh Marvel Cinematic Universe, malah ke sempadan paling ikonik dalam dunia fiksyen sains menerusi kapal angkasa Starship Enterprise,” tambahnya.
Dilahirkan pada 13 Julai 1940 di Mirfield, Yorkshire, England, Stewart memulakan kerjaya lakonan pada usia 18 tahun dan meraih pengiktirafan sebagai pelakon pentas menerusi Royal Shakespeare Company sejak era 1960-an.
Namun, namanya mula dikenali di seluruh dunia apabila dipilih membawakan watak Kapten Jean-Luc Picard dalam Star Trek: The Next Generation pada usia 47 tahun.
Siri itu ditayangkan antara 1987 hingga 1994 sebagai kesinambungan kepada siri asal Star Trek yang popular pada era 1960-an.
Sebagai Picard, Stewart dikenali dengan ungkapan ikonik seperti “Make it so” dan “Engage”, yang menjadi antara dialog paling dikenang peminat francais fiksyen sains itu.
Walaupun pada awalnya keberatan menerima tawaran tersebut selepas rakannya yang juga pelakon Shakespeare terkenal, Sir Ian McKellen menasihatinya supaya terus kekal di pentas teater, keputusan beliau menyertai Star Trek akhirnya mengubah perjalanan kerjayanya.
Stewart membintangi 176 episod sepanjang tujuh musim siri berkenaan sebelum kembali membawa watak Picard dalam beberapa filem Star Trek dan siri penstriman Star Trek: Picard yang mula ditayangkan pada 2020 ketika beliau berusia 79 tahun.
Selain kejayaan dalam francais Star Trek, Stewart turut mencipta impak besar menerusi watak Profesor X dalam siri filem X-Men bermula pada 2000.
Dia pada mulanya ragu-ragu untuk menerima watak pemimpin mutan berkerusi roda itu kerana merasakan ia masih berada dalam genre fantasi dan fiksyen sains yang pernah diterokainya sebelum ini.
Namun, watak Profesor X akhirnya menjadi satu lagi peranan ikonik yang mengukuhkan statusnya sebagai antara pelakon paling berpengaruh dalam dunia hiburan global.
Di sebalik kejayaan gemilangnya, Stewart pernah mendedahkan zaman kanak-kanaknya dipenuhi cabaran.
Dia dibesarkan dalam keluarga miskin dan sering menyaksikan ibunya menjadi mangsa penderaan fizikal oleh bapanya yang mengalami tekanan pascatrauma selepas Perang Dunia Kedua.
Mendiang sering meletakkan dirinya di antara kedua-dua ibu bapanya dalam usaha melindungi ibunya daripada keganasan tersebut.
Stewart pernah menyifatkan dunia lakonan sebagai "ruang selamat" yang membolehkannya melarikan diri daripada realiti hidup yang sukar selepas diperkenalkan kepada karya Shakespeare ketika berusia 12 tahun.
Pada 2010, beliau menerima gelaran "Sir" dalam istiadat penganugerahan di Istana Buckingham, satu pengiktirafan yang disifatkannya sebagai pencapaian profesional paling bermakna dalam hidupnya.
Sepanjang hayatnya, Stewart berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan dua orang anak.
Patrick mendirikan rumah tangga dengan Sunny Ozell pada 2013.
Pemergian Stewart menutup tirai perjalanan seorang pelakon luar biasa yang berjaya menghubungkan dunia teater Shakespeare dengan budaya popular moden, sekali gus meninggalkan legasi yang terus dikenang peminat di seluruh dunia.