Sekilas
- Cat Farish terbuka dengan penggunaan teknologi AI dalam industri seni dan menganggap ia perlu difahami serta digunakan dengan betul.
- Beliau menekankan pentingnya pengurusan hak intelek wajah pelakon untuk memastikan bayaran royalti apabila wajah digunakan dalam karya berasaskan AI.
- Filem Siluman: Dendam Harimau Jadian dijadikan kajian kes untuk melihat potensi penggunaan AI dalam produksi filem berskala besar.
Pelakon dan penyanyi Cat Farish mengakui terbuka dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam industri seni menerusi penglibatannya dalam filem Siluman: Dendam Harimau Jadian.
Menurut Cat, dia tidak melihat dirinya sebagai pihak yang menentang atau menyokong AI secara mutlak, sebaliknya menganggap teknologi itu sebagai sesuatu yang perlu difahami dan digunakan dengan cara betul.
“Saya sebenarnya bukan ‘against’, bukan juga ‘support’. Saya pengguna teknologi, saya suka teknologi.
“Kita tak boleh lawan teknologi. Sekarang ini kita kena ‘join’ teknologi,” katanya.
Cat berkata, penglibatan dalam Siluman turut membuka matanya mengenai potensi penggunaan imej atau wajah pelakon sebagai harta intelek yang boleh dikawal penggunaannya.
Menurutnya, konsep tersebut boleh memberi ruang kepada pelakon untuk menerima bayaran atau royalti sekiranya wajah mereka digunakan semula dalam karya berasaskan AI.
“Kalau kita nak guna wajah pelakon sebagai IP, kita bayar macam berlakon juga.
“Macam saya, kalau saya ada IP wajah sendiri, sesiapa yang nak guna kena bayar. Bila ada IP, penggunaan itu juga boleh melibatkan royalti,” jelasnya.
Bagaimanapun, Cat menegaskan perkara itu perlu diurus dengan betul supaya penggunaan wajah seseorang dalam kandungan AI tidak berlaku sewenang-wenangnya.
Katanya, perkembangan teknologi tidak boleh dihentikan, sebaliknya pemain industri perlu mencari kaedah terbaik untuk menyesuaikan diri tanpa mengetepikan hak individu.
“You cannot fight the technology. Sekarang kita kena sertai teknologi.
“Cara baik atau cara tak baik itu terpulang, tetapi teknologi itu tetap akan ada dan berkembang,” ujarnya.
Mengulas mengenai keputusan produksi menghasilkan Siluman: Dendam Harimau Jadian dalam format filem, Cat berkata projek tersebut turut dijadikan sebagai satu kajian terhadap kemungkinan penggunaan AI dalam produksi berskala lebih besar.
“Itu keputusan syarikat. Mereka nak jadikan projek ini sebagai satu ‘study case’ untuk tengok apa yang berlaku bila teknologi ini digunakan dalam filem,” katanya.
Siluman: Dendam Harimau Jadian arahan Fazli Yasin menggabungkan lakonan sebenar dengan penggunaan teknologi AI dalam beberapa aspek produksi.’