Sekilas
- Penyanyi Black Hanifah mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pekerja yang didakwa pecah amanah sehingga menyebabkan kerugian lebih RM100,000 dan gangguan tempahan vila miliknya di Langkawi.
- Black menafikan dakwaan gagal membayar gaji pekerja dan menegaskan kesetiaannya dalam industri serta kesediaan memaafkan pekerja tersebut jika dia tampil meminta maaf.
- Black mengusahakan beberapa perniagaan di Langkawi termasuk vila Rindu D’Villa dan Dayyan D’Villa, serta perkhidmatan kapal layar mewah dan kafe.
Ditipu buat kali kedua membuatkan penyanyi, Black Hanifah mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pekerja yang didakwa melakukan pecah amanah sehingga menjejaskan perniagaan vila miliknya di Langkawi, Kedah.
Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, tindakan pekerja berkenaan telah menyebabkan di kerugian mencecah RM100,000
“Saya sudah membuat laporan polis terhadap seorang pekerja atas pecah amanah yang telah dilakukan, membuatkan kami menanggung kerugian bukan dari wang ringgit tapi daripada segi pelanggan yang menginap di vila. Lebih kurang 100 orang, kalau dibahagikan harga satu malam kami boleh dapat lebih daripada RM100,000.
“Pekerja itu tidak melayan mesej pelanggan yang bertanyakan tentang vila kami, malah dia block semua tempahan sampai tahun depan. Bermakna pelanggan tidak dapat menempah di dalam talian.
“Nasib baik saya sedar awal dan buat laporan. Kini polis sedang menjalankan siasatan, saya tidak boleh mengulas lebih lanjut,” katanya kepada Gempak.
Black berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran single Terlerai Sudah yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Aku Rindu Sayang Kamu ini mengakui kecewa kerana telah melayan pekerjanya dengan baik seperti ahli keluarga sendiri.
“Ini kali kedua saya dikhianati pekerja, saya melayan mereka dengan baik seperti keluarga sendiri. Anak-anaknya pun saya layan dengan baik.
“Sebenarnya silap saya juga. Cara saya melayani pekerja itu salah, ingatkan pekerja itu sebagai satu keluarga juga tapi sebenarnya kita tak boleh anggap begitu.
“Hal ini membuatkan saya dan keluarga terganggu emosi, kerana saya dapat tahu pengkhianatan ini ketika sedang bercuti di luar negara. Anak-anak saya turut terkesan kerana mendengar perbualan kami menyelesaikan masalah ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Black turut menafikan dakwaan beberapa individu yang mendakwa dirinya gagal membayar gaji pekerja selepas pulang ke Malaysia.
“Bila pulang ke tanah air macam-macam lagi yang terjadi, ada beberapa individu yang memuat naik hantaran di Threads mendakwa saya tidak membayar gaji mereka.
“Kalau ikutkan, saya ada nama dalam industri, kenapa saya nak buat perkara buruk ini (tak bayar gaji).
“Banyak pencapaian yang saya dah capai, kalau saya buat begitu memang saya bodohlah. Saya tidak pernah menipu orang,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Black menegaskan dia bersedia memaafkan pekerja berkenaan sekiranya individu itu tampil meminta maaf kepada dirinya dan keluarga.
“Saya orang yang sangat ringkas, hari ini marah, esok saya akan lupakan. Kalau dia datang, saya dah keluarga akan membuka seluas-luas pintu untuk menerima kedatangannya bagi memohon maaf.
“Saya hanya nak dengar dia minta maaf sahaja, tapi sampai hari ini saya masih belum dengar permohonan maaf daripada pihaknya.
“Tak pernah pun dia nak mesej pun, mungkin dia rasa dia betul. Kalau dia simpati dengan keluarga saya, datang saja minta maaf,” katanya lagi.
Untuk rekod, Black mengusahakan beberapa perniagaan di Langkawi termasuk perniagaan vila, perkhidmatan kapal layar mewah dan sebuah kafe.
Dua vila miliknya yang beroperasi di pulau peranginan itu ialah Rindu D’Villa dan Dayyan D’Villa.