Sekilas
- Blue Pongtiwat Tangwancharoen menafikan dakwaan hubungan lebih daripada kawan dengan Lisa Blackpink dan menegaskan mereka hanya berteman.
- Blue mengesahkan dirinya masih solo dan tiada projek muzik bersama Lisa selain kerjasama dalam kempen Tourism Authority of Thailand.
- Spekulasi hubungan mereka timbul selepas beberapa foto bersama di sambutan hari lahir Lisa dan dakwaan peminat melihat mereka di London.
Bintang Thailand yang namanya hangat dikaitkan dengan Lisa Blackpink, Blue Pongtiwat Tangwancharoen, akhirnya menjelaskan tentang hubungan mereka yang didakwa lebih daripada sekadar sahabat.
Dalam pertemuan bersama media baru-baru ini, Blue mendedahkan hubungannya dengan salah seorang pesohor seni paling terkenal di dunia itu hanya sekadar teman.
“Saya melihat dan membaca banyak khabar dan gosip tentang kami, tapi saya tidak cemas atau tertekan.
“Sebenarnya kami berkawan dengan rakan-rakan di antara satu sama lain. Itu yang membuatkan kami dekat.
“Tapi hubungan kami tidak lebih daripada itu. Kami hanya berteman,” ujar Blue sewaktu mempromosi siri terbaharunya, The Remarried Empress seperti dilaporkan thethaiger,
Malah elakon itu turut mengesahkan dirinya masih belum mempunyai pasangan atau berstatus solo.
Mengulas mengenai kerjasama profesional bersama Lisa, Blue menjelaskan bahawa setakat ini mereka hanya terlibat dalam kempen bersama Tourism Authority of Thailand (TAT).
Dia turut menafikan dakwaan pernah muncul dalam salah satu muzik video Lisa, selain menegaskan tiada sebarang projek muzik bersama yang sedang dirancang ketika ini.
Untuk rekod, spekulasi mengenai hubungan Blue dan Lisa mula hangat diperkatakan selepas beberapa foto memaparkan mereka bersama ketika sambutan hari lahir penyanyi itu di Thailand.
Mereka sekali lagi menjadi perhatian apabila peminat mendakwa terserempak dengan kedua-duanya di sebuah lokasi sekitar London.