Sekilas
- Pembantu rumah Ryzal Ibrahim dan Maryam You Narae dipuji netizen kerana bertindak pantas ketika anak kedua mereka, Rian, terjatuh dari katil dan tidak sedarkan diri.
- Rakaman CCTV yang dikongsi menunjukkan bagaimana keluarga tersebut menguruskan situasi cemas sebelum mendapatkan bantuan.
- Maryam memaklumkan keadaan Rian kini semakin baik dan aktif seperti biasa selepas insiden tersebut.
Tindakan pantas pembantu rumah kepada personaliti media sosial Ryzal Ibrahim dan isterinya, Maryam You Narae ketika berdepan detik cemas melibatkan anak kedua mereka, Rian mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian dalam Threads, ramai netizen memuji kecekapan dan keikhlasan pembantu rumah pasangan tersebut selepas menonton rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan Ryzal.
“Alhamdulillah baby Rian okey. Bagusnya pembantu, memang nampak ikhlas dia dengan keluarga Ryzal.
“Satu saja nak cakap dengan Ryzal, bolehlah naik gaji pembantu ni.
“Semoga Allah lindungi keluarga DurianKimchi dan Ryzal sekeluarga,” tulis seorang netizen.
Pujian tersebut diberikan selepas Ryzal memuat naik rakaman CCTV yang memaparkan detik-detik cemas apabila anak keduanya itu terjatuh dari katil sehingga tidak sedarkan diri.
Rakaman berkenaan turut menunjukkan bagaimana Ryzal, Maryam dan pembantu rumah mereka bertindak pantas menguruskan situasi tersebut sebelum mendapatkan bantuan.
Terdahulu, Ryzal dan isteri berdepan pengalaman paling menakutkan sebagai ibu bapa apabila Rian tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil di kediaman mereka.
Menurutnya, insiden tersebut meninggalkan kesan mendalam dan menjadi satu peringatan buat mereka untuk lebih berhati-hati dalam aspek keselamatan anak-anak.
Bagaimanapun, Maryam menerusi perkongsian di Instagram memaklumkan keadaan Rian kini semakin baik dan kembali aktif seperti biasa.