"Ini Mungkin Persembahan Terakhirnya Bersama Saya..." – Siti Nurhaliza
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi kenangan terakhir bersama Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali ketika mereka melakukan persembahan bersama sebelum ini.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Siti berkongsi Tun Hasmah sempat berbisik kepada beliau seakan-akan memberikan bayangan bahawa persembahan tersebut mungkin menjadi penampilan terakhir mereka bersama.
"Kenangan bersama Bonda Tun Hasmah takkan hilang dari ingatan saya selamanya. Semasa persembahan ini Bonda Tun bisik pada saya, ini mungkin persembahan terakhirnya bersama saya.
"Kerana itulah saya tak dapat menahan air mata dan terus menangis sepanjang latihan bersama arwah," tulisnya.
Lebih menyentuh hati, Siti turut mengimbas pelukan erat yang diterimanya daripada Allahyarhamah sehingga membuatkan dirinya berat untuk melepaskan momen berkenaan.
"Saya dapat rasakan pelukan erat seorang ibu, saya pun rasa tak nak lepaskan pelukan erat itu," tulis Siti lagi.
Siti dalam masa sama menitipkan doa buat Allahyarhamah dan menyifatkan Tun Hasmah akan sentiasa berada dalam ingatannya seperti kedua-dua ibu bapanya sendiri.
"Bonda Tun akan selalu dalam doa Ct sepertimana doa Ct buat Mak dan Abah Ct," tambahnya.

Perkongsian tersebut turut disertakan rakaman Tun Dr Siti Hasmah bermain biola bersama Siti, yang menjadi antara kenangan istimewa dan punyai nilai sentimental buat beliau.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada pagi Isnin.