Sekilas
- Brad Pitt mengaku kembali minum alkohol selepas tujuh tahun berhenti sejak perpisahannya dengan Angelina Jolie pada 2016.
- Dia mengambil alkohol secara sederhana dan berdisiplin untuk mengelakkan kembali menjadi kaki mabuk seperti sebelum ini.
- Sumber menyatakan keputusan Pitt minum secara terkawal adalah sangat peribadi dan dia komited untuk kekal profesional dalam tindakannya.
Pesohor Hollywood, Brad Pitt secara terbuka mengaku telah kembali ke sikap lamanya iaitu mengambil minuman alkohol selepas berhenti selama tujuh tahun.
Pitt pertama kali mendedahkan telah berhenti minum alkohol selepas perpisahan dengan Angelina Jolie pada tahun 2026.
Namun, menerusi temu bual bersama Esquire, bintang F1 itu mengaku telah kembali minum alkohol tetapi mengambilnya dalam kuantiti sederhana.
“Saya sudah sihat dan tidak minum arak selama tujuh tahun, tapi kini terjebak kembali,” akuinya sewaktu terlibat dalam temu bual tersebut.
Pemenang Oscar berusia 62 tahun itu kemudian menyambung, ini dia melakukan aktiviti tersebut dengan lebih berdisiplin supaya tidak kembali terjerumus menjadi kaki mabuk seperti sebelum ini.
“Saya terlalu yakin sebelum ini, ya itu tidak bagus untuk saya. Tapi kini saya tidak minum banyak, saya ambil dalam kuantiti yang sederhana. Saya perlu kawal pengambilannya dan perlu lebih profesional,” akuinya lagi.
Sementara itu satu sumber memberitahu Page Six, keputusan yang diambil Pitt untuk kembali mengambil minuman alkohol bersifat sangat peribadi dan sentiasa mengingatkan dirinya untuk melakukan aktiviti tersebut secara tidak berlebihan.
“Kini dia lebih peka dan tahu bila perlu berhenti (minum). Dia sangat menghargai tujuh tahun saat dirinya bebas alkohol.
“Saat ini dia hanya akan minum dalam keadaan yang terkawal, akan komited dan profesional terhadap tindakannya,” ujar sumber tersebut.
Sebelum ini, bintang Fight Club itu pernah mengaku sebagai kaki mabuk tegar saat masih menjadi suami Jolie. Dia kemudian menghantar dirinya ke pusat pemulihan untuk membantu dirinya keluar daripada masalah ketagihan tersebut.