Sekilas
- Saiful Apek berkongsi pesanan di Threads agar ego tidak merosakkan hubungan persahabatan yang lama terjalin.
- Beliau mengibaratkan ukhuwah seperti tasbih yang tiada pengakhiran dan menasihatkan supaya buang ego, bukan silaturahim.
- Perkongsian Saiful muncul ketika isu persahabatan antara Jep dan Shuib kembali menjadi perbualan di media sosial, dengan Jep meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Shuib.
Pelakon dan pelawak, Saiful Apek menyorot perhatian selepas berkongsi pesanan yang mengingatkan orang ramai agar tidak membiarkan ego merosakkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin.
Menerusi hantaran di Threads, Saiful turut mengingatkan hubungan persahabatan ini ibarat tasbih yang tidak pernah ada pengakhiran.
“Jika kuku mu panjang, potonglah kuku mu. Bukan jari mu.
“Jika rambut mu panjang, potonglah rambut mu. Bukan kepala mu.
“Jika berlaku perbalahan, buanglah ego mu. Bukan silaturahim mu.
“Ukhuwah ibarat tasbih. Ada permulaan, takkan ada pengakhiran,” tulisnya.
Walaupun tidak menyebut nama Shuib atau Jep secara langsung dalam petikan nasihat tersebut, perkongsian Saiful hadir ketika hubungan kedua-dua pelawak itu kembali menjadi perbualan dalam kalangan pengguna media sosial.
Terdahulu, Jep tampil menyuarakan rasa kurang senang terhadap tindakan Shuib yang didakwa masih membangkitkan isu persahabatan mereka menerusi podcast.
Jep atau nama lengkapnya, Mohd Nadzri Zainal Abidin, mengakui sudah memohon maaf atas perkara yang berlaku sebelum ini, namun meluahkan rasa muak apabila isu berkenaan terus dibincangkan secara terbuka.
Dalam kenyataan sama, Jep turut menyentuh mengenai sebuah podcast yang didakwa membincangkan isu pembayaran melibatkan kumpulan mereka.
Menurut Jep, berdasarkan pemahamannya, tiada perjanjian pembayaran dibuat untuk kumpulan kerana urusan sebelum ini dilakukan secara individu.
Jep turut meminta supaya sebarang isu berkaitan pembayaran dinyatakan secara jelas dan tidak disampaikan secara berkias sehingga boleh menimbulkan tanggapan negatif terhadap dirinya.
Sumber: Threads