Skip to main content

Hiburan

Buat Persembahan Tradisional, Siti Nurhaliza Beri Sebab Masih Bertanding AIM

Siti Nurhaliza

Pesohor Datuk Seri Siti Nurhaliza yang masih kekal bertanding dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi 2024 menjawab persoalan media mengenai keputusan beliau berbuat demikian.

Persoalan tersebut dilontar kepada biduanita itu selepas menerima enam pencalonan dalam AIM 2024 menerusi pencalonan album SITISM dalam beberapa kategori termasuk Album Terbaik, Vokal Wanita Terbaik dan Lagu Etnik Terbaik.

Advertisement

Ironi, AIM sebelum ini sempat tidak dianjurkan selama tiga tahun sehingga ada segelintir karyawan seni menyifatkan anugerah tersebut sudah tidak relevan.

Dengan tenang dan penuh hemah, Siti menjelaskan sebagai pemain industri dan penyanyi beliau akan terus menyokong penganjuran majlis yang mengangkat atau mengiktiraf hasil kerja anak seni seperti AIM.

Menurutnya penganjuran AIM masih relevan dan perlu terus dianjurkan kerana disifatkan sebagai anugerah yang mengiktiraf bukan saja penyanyi, tetapi insan di belakang tabir yang jarang diketengahkan.

“Memang saya ada memutuskan untuk tidak lagi menyertai acara atau pertandingan kerana ia bersifat undian atau popular.

“Namun ia berbeza untuk AIM. Misalnya untuk penganjuran kali ini, album saya tercalon dalam enam kategori.

“Jika saya tidak menang, saya berharap ada pengiktirafan yang diberi atau diperoleh oleh karyawan di sebalik tabir album ini," katanya saat ditemui di majlis pengumuman hos, penyampai anugerah dan barisan artis membuat persembahan di AIM, baru-baru ini.

Menurut Siti lagi, penghasilan sesebuah album dan popularnya lagu beliau bukan hasil kerja seorang diri.

"Di sebalik kejayaan sesebuah album dan artis, sebenarnya ada insan seperti juru bunyi, penyusun muzik dan insan kreatif lain.

"Mereka amat kita perlukan dan mereka jugalah yang memberi inspriasi untuk penyanyi seperti saya supaya terus bekerja.

"Sehubungan itu, saya takkan menarik diri daripada AIM kerana tidak adil untuk saya berbuat demikian kepada mereka yang bertungkus lumus menyiapkan album saya," katanya lagi.

Siti juga bakal membuat persembahan pada malam kemuncak AIM24 yang berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands pada 13 September ini.

Menurut Siti, beliau memilih menampilkan persembahan tradisional untuk mengembalikan nostalgia kemenangan dalam anugerah sama sebelum ini.

Selain Siti, AIM24 akan dimeriahkan dengan persembahan daripada Masdo, Dolla dan bintang Thailand, Tabii, Ernie Zakri bersama Ade Govinda dan Anggi Marito dari Indonesia serta Exists dan Black Hanafiah.

Must-Watch Video

Advertisement