Sekilas
- Pelakon Ellie Suriaty mengalami kecederaan lutut kanan akibat senaman kaki yang kuat dua bulan lalu.
- Ellie memilih untuk berurut sebagai cara pemulihan dan mengelak pembedahan kerana risau tempoh pemulihan yang lama.
- Kecederaan lututnya kembali sakit selepas memakai kasut bertumit pada malam Festival Filem Malaysia, walaupun sebelum itu sudah hampir pulih.
Gara-gara melakukan senaman melibatkan kaki secara kuat, lutut belah kanan pelakon Ellie Suriaty mengalami kecederaan.
Menurut Ellie, dia tidak mahu melakukan pembedahan sebaliknya memilih cara berurut untuk baik pulih lututnya yang sudah beralih.
“Saya main gym, buat leg work dan saya tolak kaki dengan kuat menyebabkan lutut saya beralih… insiden itu berlaku pada dua bulan lalu.
“Untuk baik memang akan ambil masa apatah lagi saya tak nak buat pembedahan. Jadi saya pilih cara lain iaitu berurut.
“Saya tak nak belah lutut sebab ia akan ambil masa lama untuk pulih. Kalau ada kerja nak buat, susah pula nanti. Jadi ada pilihan, saya pilih cara lain,” katanya kepada Gempak.
Ellie ditemui ketika media visit penggambaran filem Sumpahan Nilam Utama di UKM, Bangi pada Isnin.
Syukur kecederaan itu tidak mengganggu pergerakannya, bagaimanapun lutut yang sepatutnya sudah hampir pulih kembali sakit disebabkan Ellie memakai kasut bertumit pada malam Festival Filem Malaysia baru-baru ini.
“Alhamdulillah, tak menganggu saya pergerakan saya. Malam FFM haritu, saya makan ubat painkiller dan dapat tahan sakit. Ikutkan waktu itu dah nak baik.
“Tukang urut tu bagus la sebab dia pakar. Cuma malam FFM itu saya pakai kasut yang ada tumit. Rupanya tak boleh ada tekanan pada kaki.
“Masa pakai mula-mula dari rumah okay, tapi bila sampai sana rasa sakit. Sepanjang malam boleh tahan sakit tapi balik itu rasa sakit,” ujarnya.