Sekilas
- Pengacara Hawa Rizwana menafikan dakwaan bahawa hubungannya dengan Boss James hanyalah untuk konten media sosial.
- Hawa menjelaskan mereka masih berkawan baik walaupun jarang muncul bersama dalam siaran langsung atau media sosial kerana kekangan masa dan tiada konflik antara mereka.
- Hawa menegaskan mereka tidak pernah menjalinkan hubungan cinta seperti yang dispekulasikan ramai sebelum ini.
Pengacara, Hawa Rizwana menafikan dakwaan kononnya hubungannya bersama personaliti media sosial, Boss James hanyalah sekadar konten di media sosial.
Menurut Hawa, meskipun tidak muncul dalam siaran langsung bersama, hubungan persahabatan mereka masih baik seperti biasa meskipun kini jarang muncul bersama di siaran langsung atau media sosial.
“Bagi orang yang betul-betul kenal Hawa, saya bukan jenis yang buat apa-apa untuk content, for the sake of content. Sebab saya seorang yang jujur dalam persahabatan dan setiap apa yang berlaku saya percaya ada sebab di sebaliknya.
“Kami berkawan dari kenalan kami, dan memang kami berkawan sehingga sekarang. Memang tak ada live macam dulu sebab selepas raya saya sudah ke London untuk penggambaran.
“Tiada masa untuk kami tapi tiada konflik antara kami dan masih berkawan,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Hawa turut menjelaskan bahawa dia dan Boss James tidak pernah menjalinkan hubungan cinta seperti yang dispekulasikan ramai.
“Kami tak pernah bercinta, memang siapa-siapa yang mengikuti live atau media sosial saya selalu menekankan yang kami berkawan,” katanya lagi.
Sebelum ini, kemesraan Hawa dan Boss James di media sosial sering menjadi perhatian netizen sehingga ramai membuat andaian mereka mempunyai hubungan istimewa.