Sekilas
- Datin Sofia Jane jelaskan istilah 'demanding' yang sering dilemparkan kepadanya sebenarnya merujuk kepada keinginannya untuk mendapatkan skrip dan naskhah berkualiti dalam kerjaya lakonan.
- Sofia menegaskan tuntutan pelakon adalah untuk penulisan yang baik kerana ia menentukan jangka hayat dan kualiti karya serta kerjaya pelakon itu sendiri.
- Sofia kini fokus pada pemilihan karya berkualiti melalui pementasan solo teater berjudul Thrown.
Pelakon berkaliber, Datin Sofia Jane, mengakui sudah lali apabila sering diajukan soalan dan dilabel sebagai pelakon yang bersikap ‘demanding’ (cerewet) sejak awal pembabitannya dalam dunia seni.
Menurut Sofia, istilah tersebut sering disalah erti sehingga menimbulkan tanggapan bahawa dirinya sukar untuk bekerjasama.
Tampil membetulkan persepsi berkenaan, Sofia menegaskan apa yang dimaksudkan dengan tuntutan dalam kerjaya lakonan bukanlah meminta bayaran melampau atau mengharapkan layanan istimewa, sebaliknya lebih kepada keinginan untuk mendapatkan skrip dan naskhah yang berkualiti.
“Saya tak boleh bercakap untuk orang lain, tapi untuk saya, saya sentiasa melihat kepada teks. Saya melihat penulisan itu.
“Kalau penulisan itu baik dan saya tahu saya akan bekerja, bergabung dengan orang-orang yang juga memahami tuntutan teks yang bagus itu, mestilah saya nak bekerja dengan orang itu, kan?
“Tapi mungkin apa yang orang A rasa penulisan baik, bukan penulisan baik untuk saya atau apa yang saya rasa baik, bukan baik untuk awak.
“But that’s my choice. Itu pilihan saya. Dia bukan pasal demand atau apa. I think demand, the word is so redundant.
“Sebab dari umur saya 20 tahun lagi, saya asyik dapat soalan yang sama pasal demand. Pada saya perkataan itu dah lapuk sangat.
“Demand, demand. Apa sebenarnya yang kita maksudkan dengan demand? Sebagai pelakon, penonton dan orang dalam industri, kita berhak menuntut penulisan yang baik.
“Itulah demand sebenar bagi saya, tuntut teks yang lebih bagus dan karya yang lebih berkualiti kerana saya mahu menjadi sebahagian daripada naskhah tersebut," jelasnya.
Sofia berkata demikian ketika ditemui di sesi temubual eksklusif bersama Datin Sofia Jane untuk pementasa teater solo pertama, Thrown bertempat di Citrus Cafe, Bangsar Village 2 pada Selasa.
Jelas Sofia lagi, pemilihan skrip yang teliti amat penting kerana kekuatan sesebuah karya itulah yang menentukan jangka hayat dan sejauh mana seseorang pelakon mampu bertahan.
“Kita sebagai penonton, pelakon, orang yang dalam industri, harus menuntut penulisan yang baik. Itulah maksud demand pada saya.
“Untuk menghasilkan penulisan yang lebih baik, teks yang lebih bagus dan segala-galanya yang lebih berkualiti, itulah tuntutan saya sebagai seorang pelakon kerana saya mahu menjadi sebahagian daripada karya tersebut,” tegasnya.

Bercakap mengenai soal bayaran, Sofia berkata itu merupakan perkara berbeza yang sepatutnya diberikan perhatian sejak sekian lama.
“Ya, bayaran itu perkara berbeza. Itu perkara lain yang sepatutnya sudah lama diselesaikan.
“Perlu ada kadar minimum sekiranya kita mahu bercakap tentang bayaran. Perlu ada kadar minimum seperti mana dalam industri lain.
“Sama ada anda seorang arkitek, penulis atau doktor, mesti ada kadar minimum, tetapi perkara itu masih belum wujud dalam industri kita.
“Itulah yang sepatutnya kita perjuangkan bersama sebagai komuniti dalam industri ini. Namun, kita sudah memperjuangkannya selama bertahun-tahun dan saya tidak mahu bercakap tentang perkara itu.
“Namun, dari segi tuntutan, saya berpendapat pelakon yang baik akan menuntut skrip yang baik. Sebab itulah mereka mahu tahu siapa penulisnya dan karya apa yang dihasilkan.
“Hal ini kerana perkara tersebut sedikit sebanyak akan menentukan sejauh mana seseorang pelakon mampu bertahan lama dalam industri.
“Jika kita kerap terlibat dalam karya yang kurang berkualiti, itulah sahaja yang akan kita lakukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sofia terlibat dengan pementasan solo wanita arahan Gavin Yap berjudul Thrown.
Pementasan tersebut dipersembahkan oleh Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) dan merupakan terbitan Superbear Productions.
Pementasan teater Thrown bakal berlangsung di The Studio, JCPAC, bermula 20 hingga 22 November dan 27 hingga 29 November, 8.30 malam dan 3 petang.