Sekilas
- Kilauan Emas Selebriti 2026 tampil dengan format baharu khas untuk selebriti veteran yang bukan penyanyi profesional, sebagai sambutan ulang tahun ke-30 Astro.
- Peserta terdiri daripada selebriti berusia 49 tahun ke atas dari pelbagai bidang yang dikenali ramai dan belum pernah menghasilkan lagu sendiri.
- Program ini juga membawa elemen kebajikan melalui sumbangan mingguan kepada badan amal serta gabungan penilaian juri profesional dan undian penonton.
Selepas sekian lama membuka peluang kepada orang awam, program realiti Kilauan Emas tampil dengan nafas baharu apabila mempertaruhkan selebriti veteran sebagai peserta menerusi Kilauan Emas Selebriti 2026.
Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, perubahan format tersebut dibuat bersempena ulang tahun ke-30 Astro selain mahu memberikan kelainan kepada program berkenaan.
“Kilauan Emas kembali dengan format yang baharu sempena ulang tahun Astro yang ke-30. Kali ini, kami membawakan satu kelainan.
“Pihak Astro dan produksi telah membuat keputusan untuk melakukan ‘pivot’ atau nafas baharu.
“Jika sebelum ini formatnya adalah ‘Zero to Hero’ yang dibuka kepada orang awam, kali ini kami buat khas untuk selebriti,” katanya.
Menurut Idlan, selebriti yang dipilih juga perlu memenuhi beberapa kriteria termasuk tidak mempunyai latar belakang sebagai penyanyi profesional atau pernah menghasilkan single.
Katanya, idea tersebut tercetus selepas melihat ramai selebriti veteran masih aktif dalam industri seni selain menyimpan minat mendalam terhadap bidang nyanyian.
“Selebriti yang kami pilih bukanlah mereka yang mempunyai latar belakang penyanyi profesional atau pernah mengeluarkan single.
“Idea ini datang kerana dalam dunia hiburan, kita nampak ramai selebriti veteran yang masih bekerja keras di set penggambaran sehingga lewat malam, tetapi dalam masa sama mereka mempunyai minat yang mendalam untuk menyanyi.
“Jadi, kami sediakan platform ini untuk mereka tunjukkan bakat tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, pemilihan peserta tidak terhad kepada pelakon, sebaliknya terbuka kepada personaliti daripada pelbagai bidang yang dikenali ramai.
“Kriteria utama kami adalah selebriti yang dikenali ramai termasuk pelakon, pembaca berita, ahli sukan, cef atau penganalisis yang berusia 49 tahun ke atas dan tidak pernah mempunyai lagu sendiri.
“Kami telah melalui proses uji bakat yang mencabar untuk mendapatkan senarai peserta terbaik,” katanya.
Mengulas mengenai kekeliruan sesetengah pihak apabila Kilauan Emas Selebriti disamakan dengan program Gegar Vaganza (GV), Idlan berkata kedua-duanya mempertaruhkan nama-nama yang sudah dikenali ramai.
“Ramai yang mungkin keliru atau tanya pasal GV. Kilauan Emas Selebriti ini adalah program yang berbeza.
“GV adalah untuk penyanyi profesional yang ingin membuat ‘comeback’. Kilauan Emas pula, dari awal ia dicipta untuk memberi peluang kepada mereka yang berumur untuk mengejar impian menjadi penyanyi.
“Bezanya cuma kali ini kita beri peluang itu kepada rakan-rakan selebriti kita,” jelasnya.
Bukan sekadar pertandingan nyanyian, musim terbaharu itu turut membawa elemen kebajikan menerusi inisiatif Astro Kasih.
“Satu lagi kelainan tahun ini adalah elemen ‘giving back’ (memberi kembali).
“Hadiah mingguan akan diberikan dalam bentuk sumbangan kepada badan kebajikan atau veteran seni lain yang memerlukan melalui inisiatif Astro Kasih.
“Jadi, ia bukan sekadar pertandingan, tetapi ada elemen amal,” katanya.
Mengulas mengenai sistem pemarkahan, Idlan berkata, nasib peserta akan ditentukan menerusi gabungan penilaian juri profesional dan undian penonton.
“Pemarkahan akan dibahagikan kepada dua iaitu juri profesional dan undian penonton.
“Penyingkiran akan bergantung kepada markah juri, tetapi penonton juga memainkan peranan besar dalam menentukan siapa yang layak menang setiap minggu,” ujarnya.
Kilauan Emas Selebriti 2026 bakal bersiaran secara langsung selama tujuh minggu bermula 22 Ogos, setiap Sabtu, pukul 9 malam menerusi Astro Prima.