Sekilas
- Elfira Loy mengenang arwah ibunya sebagai sumber kekuatan dan keberanian dalam setiap keputusan yang dibuatnya.
- Walaupun ramai anggap Elfira kuat, dia mengakui keberanian itu datang kerana sokongan arwah ibunya yang sentiasa ada untuknya.
- Elfira berkongsi perasaan dan doa buat arwah ibunya menerusi hantaran di Threads selepas pemergian ibu tercinta pada 12 September lalu.
Pelakon Elfira Loy mengenang arwah ibunya sebagai insan yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan keberanian dalam setiap keputusan yang dibuatnya.
Elfira berkata ramai menganggap dirinya seorang yang kuat serta tahu menguruskan pelbagai perkara, namun hakikatnya keberanian itu hadir kerana dia tahu arwah ibunya sentiasa ada untuk menyokongnya.
“Orang selalu cakap kakak kuat, kakak tahu buat keputusan, kakak tahu nak uruskan sesuatu perkara… sebenarnya tidak.
“Bukan kakak tahu, tapi kakak berani dan keberanian itu hadir kerana mama… kerana kakak tahu mama akan sentiasa sambut jatuh bangun kakak,” kongsinya.
Dalam pada itu, Elfira mengakui kata-kata sokongan daripada orang lain tidak akan pernah sama dengan apa yang pernah disampaikan oleh arwah ibunya.
“Saya tahu ramai orang akan cakap, ‘saya akan ada untuk awak’, tapi ia tidak sama seperti arwah cakap kepada saya.
“Semoga Allah temukan kita di taman-taman syurga mama, di Jannah,” katanya lagi.
Elfira berkongsi perkara berkenaan menerusi hantaran di Threads miliknya.
Pada 12 September lalu, Elfira berkongsi khabar duka pemergian ibu tercinta, Filzah Yusoff selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan susulan prosedur intubasi di hospital.
Sumber - Threads