Sekilas
- Danial Chuer kini lebih fokus kepada kerja di belakang tabir dan sambung pengajian peringkat master selepas tamat Big Stage.
- Dia aktif dalam coaching selebriti dan merancang keluarkan material baharu secara perlahan-lahan tahun ini.
- Danial selesa menggabungkan kerja di belakang tabir dan persembahan pentas untuk terus mengembangkan bakatnya.
Penyanyi dan penyampai radio, Danial Chuer mengakui banyak memberi tumpuan kepada kerja di belakang tabir selepas menamatkan saingan program realiti nyanyian Big Stage sebelum ini.
Menurut Danial, selain terlibat dalam kerja berkaitan industri muzik, dia turut menyambung pengajian.
“Sebenarnya, selepas habis Big Stage dulu, saya banyak bekerja di belakang tabir. Selepas itu pun saya sambung belajar dan sekarang buat master.
“Sekarang juga saya lebih kepada coaching selebriti. Saya faham ramai yang tertanya-tanya mana keberadaan saya. Jadi, insya-Allah tahun ini saya akan mula keluarkan material baharu secara perlahan-lahan,” katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai kecenderungannya untuk terus berkarya di atas pentas atau memberi tumpuan kepada kerja di belakang tabir, Danial berkata dia selesa melakukan kedua-duanya.
Jelasnya, pengalaman yang diperoleh menerusi pengajian muzik menjadi asas kepada kerjanya di belakang tabir, manakala persembahan di pentas pula memberinya ruang untuk terus menonjolkan bakat sebagai seorang penghibur.
“Dua-dua pun okey. Saya menikmati kedua-duanya. Apa yang saya buat di belakang tabir ialah perkara yang saya pelajari sebagai seorang pelajar muzik, manakala apa yang saya persembahkan di atas pentas pula adalah sebagai seorang performer.
“Bagi saya, kedua-duanya okey. Saya tidak pernah menetapkan bahawa saya hanya mahu fokus pada satu perkara sahaja.
“Apabila diberi peluang seperti semalam, saya memang akan merebut peluang itu kerana kita tidak tahu bila lagi peluang seperti ini akan datang, kan?” katanya lagi.
Tambah Danial, dia tidak mahu mengehadkan dirinya kepada satu bidang sahaja kerana pengalaman bekerja di belakang tabir turut membantu mengembangkan kemahirannya sebagai seorang penggiat muzik.