Skip to main content

Viral

"Bukan Minta Layanan 'Bagai Nak Rak', Senyum Pun Dah Cukup" – Adriana Adnan Jawab Isu Tegur Peniaga Pasar Malam

Astro Gempak adriana pasar malam

Sekilas

  • Adriana Adnan jelaskan teguran tentang layanan kurang mesra peniaga pasar malam bukan untuk menghina, tapi berkongsi pengalaman sebagai pelanggan.
  • Dia faham peniaga penat dan sibuk, tapi senyuman ringkas sudah cukup untuk buat pelanggan rasa selesa dan dialu-alukan.
  • Adriana kini bekerjasama dengan AirAsia dalam program #AdrianaCariMakan jelajah bazar Ramadan di Malaysia dan luar negara sepanjang bulan puasa.

Pelakon dan pengacara Adriana Adnan tampil menjelaskan pendiriannya selepas menerima kecaman susulan perkongsian mengenai layanan kurang mesra segelintir peniaga pasar malam.

Tegasnya, teguran yang dibuat bukan untuk menghina mana-mana pihak, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman peribadi sebagai pelanggan.

Menurut Adriana, 31, dia sendiri tidak menyangka video lama yang memaparkan pengalamannya di sebuah bazar tiba-tiba kembali tular dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

“Saya sendiri tak sangka perkara itu tiba-tiba meletup. Video itu sudah lama. Saya cuma berkongsi pengalaman di satu bazar. Bila masuk, suasana memang sibuk, tetapi layanan terasa agak dingin.

“Bukan minta dilayan bagai nak rak, cukup sekadar senyuman atau cara bercakap lembut. Kita datang sebagai pelanggan, bukannya mahu menyusahkan sesiapa,” katanya kepada Gempak.

Adriana turut berpendapat, interaksi ringkas seperti senyuman sudah memadai untuk membuatkan pelanggan berasa selesa, terutama apabila urusan dilakukan secara bersemuka.

“Senyum itu sedekah. Kita datang mahu membeli, secara tidak langsung mahu memberi rezeki kepada peniaga.

“Kadang-kadang cara menjawab membuatkan pelanggan rasa seperti dimarahi, sedangkan baru pertama kali berjumpa. Itu membuatkan kita jadi serba salah,” luahnya.

Dalam masa sama, Adriana mengakui dia memahami tekanan yang dihadapi peniaga, khususnya ketika waktu puncak dengan kehadiran pelanggan yang ramai.

“Saya faham ada peniaga sangat penat atau terlalu sibuk sampai tak sempat melayan dengan mesra.

“Tetapi mungkin kita boleh ingatkan diri sendiri untuk senyum walaupun sekejap. Layanan baik itu sebenarnya memudahkan urusan kedua-dua pihak,” ujarnya ketika sesi moreh bersamanya, malam tadi.

Bekas pengacara HLive itu turut menegaskan dia tidak pernah mengharapkan layanan istimewa, namun pelanggan juga berhak berasa selesa ketika membeli.

“Kadang-kadang kita sendiri jadi terlebih fikir. Bila peniaga nampak masam sambil bertanya ‘nak apa?’, kita pula tertanya-tanya sama ada boleh beli atau tidak.

“Sebab itu saya kata, tak perlu lebih-lebih. Senyum sahaja pun sudah cukup buat pelanggan rasa dialu-alukan,” tuturnya.

Sebelum ini, Adriana menjadi perhatian selepas berkongsi pengalaman berdepan layanan kurang mesra di sebuah pasar malam, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam media sosial antara pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan pandangannya.

Dalam perkembangan lain, Adriana kini menjalinkan kerjasama bersama AirAsia menerusi program #AdrianaCariMakan, sebuah siri jelajah bazar Ramadan sepanjang bulan puasa.

Menerusi program tersebut, Adriana menjelajah pelbagai lokasi termasuk Alor Setar serta destinasi luar negara seperti Brunei dan Banjarmasin, Indonesia bagi meneroka kepelbagaian makanan tempatan. Jelajah itu turut meliputi Sabah dan Sarawak seperti Labuan dan Kota Kinabalu.

Sepanjang Ramadan, episod baharu disiarkan dua kali seminggu iaitu setiap Selasa dan Jumaat, sekali gus mengajak penonton sama-sama merasai pengalaman memburu juadah popular di bazar serantau.

Anda mungkin berminat dengan

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Camera On Smooth Blur Primer Smooth Poreless Moisturizing Face Base

SHEGLAM Camera On Smooth Blur Primer Smooth Poreless Moisturizing Face Base

WOSADO Magnetic Lash Set

WOSADO Magnetic Lash Set

Must-Watch Video

Advertisement