Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan penganjuran konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza bukan bertujuan untuk melawan atau mencipta sebarang rekod baharu sebaliknya ia sebagai bukti bahawa artis tempatan juga berupaya menganjurkan konsert berskala besar dan berkualiti tinggi.
Menurut Siti, ada pihak yang mencadangkan agar dia mencabar rekod jumlah penonton yang pernah dicatatkan oleh kumpulan antarabangsa terkenal, Coldplay namun perkara itu langsung tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Ramai yang cakap pada saya, saya kena lawan balik rekod yang dicipta oleh kumpulan Coldplay. Sebenarnya tak terdetik langsung untuk mencipta rekod baharu. Tujuan saya buat konsert bukanlah untuk berlawan dengan artis lain.
“Cuma saya ingin membuktikan bahawa artis tempatan juga mampu menganjurkan konsert berskala besar seperti artis-artis antarabangsa. Kedudukan pentas kali ini juga membataskan kami untuk menjual tiket lebih banyak. Kalau dulu pentas di bahagian hujung, tetapi kali ini di bahagian tengah dan melintang. Jadi banyak ruang yang kita guna untuk pentas.
“Kalau saya buka lagi jualan tiket ibarat saya mencari masalah. Takut ada penonton yang tak nampak nanti, saya juga yang kena kecam netizen. Saya mahu semua penonton gembira dan dapat menonton persembahan saya dengan selesa,” katanya.
Mengulas mengenai konsert tersebut, Siti akui gembira dapat merealisasikan idea dan perancangan yang tidak dapat dia lakukan pada konsert-konsert sebelum ini.
“Banyak perkara yang saya ingin lakukan dalam sebuah konsert tetapi tidak dapat dilaksanakan dalam konsert-konsert saya sebelum ini. Jadi, saya gunakan kesempatan konsert kali ini untuk merealisasikan impian saya.
“Sebab itu saya mengharapkan peminat-peminat saya yang sudah mengikuti perjalanan karier seni saya selama 30 tahun ini akan datang menyaksikan konsert ini,” jelasnya.
konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 Januari 2026.
Bukan sahaja Siti, konsert ini juga menyaksikan kedatangan penyanyi jemputan seperti Noh Hujan, Umairah, Hafiz Suip dan Cakra Khan.