Sekilas
- Pelakon Hannah Delisha menganggap pembelian barang kemas sebagai pelaburan jangka panjang selain untuk kecantikan diri.
- Hannah merupakan duta Elfi Jewellery sejak 2025 dan tertarik dengan konsep serta harga mampu milik jenama tersebut.
- Koleksi terbaru Eternity by Elfi diperkenalkan di Fashionably Modest Asia 2026 dengan tema Her 4 Facets yang merangkumi pelbagai jenis acara.
Pelakon, Hannah Delisha mengakui mempunyai minat terhadap barang kemas dan menyifatkan pembelian aksesori berharga itu sebagai satu bentuk pelaburan yang baik untuk masa hadapan.
Jelas Hannah, dia sendiri gemar membeli barang kemas bukan sahaja untuk tujuan perhiasan, malah turut melihat emas sebagai satu bentuk simpanan jangka panjang.
“Ya, kenapa tidak? Ada kepentingannya untuk kita menyimpan barang kemas kerana kadangkala kita membeli barangan yang tidak mempunyai nilai untuk masa depan.
“Bagi saya, saya sukakan kedua-duanya. Ada masanya saya membeli barang kemas semata-mata kerana mahu kelihatan cantik.
“Namun, saya juga merasakan pelaburan dalam barang kemas emas adalah sesuatu yang baik kerana kita mendapat kedua-duanya, iaitu pelaburan dan juga kecantikan,” katanya kepada Gempak.
Dalam perkembangan lain, Hannah yang merupakan duta Elfi Jewellery sejak 2025 turut berkongsi keterujaannya apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan jenama barang kemas berkenaan.
Menurutnya, dia tertarik dengan konsep dan koleksi yang ditawarkan Elfi Jewellery kerana setiap rekaan bukan sahaja mempunyai nilai estetika, malah ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki.
Untuk rekod, Eternity by Elfi, jenama barang kemas tempahan khas terbaharu daripada Elfi Jewellery, membuat penampilan sulung menerusi pertunjukan fesyen Fashionably Modest Asia (FMA) 2026 yang berlangsung di Pavilion Arena, Pavilion Damansara Heights, hari ini.
Elfi Jewellery dan Eternity by Elfi turut bertindak sebagai Rakan Barang Kemas Rasmi FMA 2026.
Mengangkat tema Her 4 Facets, koleksi berkenaan menampilkan lapan set barang kemas yang dibahagikan kepada empat tema utama iaitu Perkahwinan dan Pengantin, Ulang Tahun, Makan Malam dan Majlis Malam, Formal dan Eksekutif serta Sambutan dan Perayaan.
Pemilihan Hannah sebagai duta sejak 2025 juga dilihat bersesuaian dengan imej anggun dan elegan yang dibawa jenama tersebut, selain kehadirannya yang berjaya mendekatkan Elfi Jewellery dengan kelompok pencinta barang kemas generasi milenial dan Gen Z.