Sekilas
- Filem Munafik: Melawan Iblis menggabungkan elemen seram dengan kisah trauma dan kehilangan watak utama, Ustaz Adam dan Fitri.
- Pengarah Guntur Soeharjanto mengekalkan roh watak asal sambil membawa elemen visual dan latar Indonesia yang lebih kuat dalam penceritaan.
- Filem ini akan ditayangkan di Malaysia mulai 1 Oktober dengan Astro Shaw sebagai rakan pemasaran, menampilkan pelakon seperti Arya Saloka dan Acha Septriasa.
Bukan sekadar menjanjikan elemen seram, gangguan ghaib dan ‘jump scare’, filem Munafik: Melawan Iblis turut membawa penonton menyelami sisi lebih emosional menerusi kisah trauma, kehilangan dan kedukaan yang menghantui watak-wataknya.
Diterajui Arya Saloka sebagai Ustaz Adam dan Acha Septriasa sebagai Fitri, kedua-dua watak utama berdepan pertarungan tersendiri yang bukan hanya melibatkan ancaman iblis, tetapi juga luka emosi yang masih belum sembuh.

Bagi Ustaz Adam, satu tragedi besar dalam hidupnya meninggalkan kesan mendalam sehingga membuatkannya cuba menjauh daripada perkara yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Namun, satu permintaan untuk membantu Fitri akhirnya membawa Adam kembali berdepan bukan sahaja dengan perkara ghaib, malah trauma yang selama ini cuba ditinggalkannya.
Dalam masa sama, perjalanan Fitri turut menambah lapisan emosi kepada penceritaan apabila watak berkenaan hadir dengan konflik serta beban tersendiri.

Justeru, Munafik: Melawan Iblis tidak hanya meletakkan pertarungan antara manusia dan iblis sebagai nadi cerita sebaliknya turut mengetengahkan persoalan mengenai kehilangan, keluarga, trauma serta proses menerima luka lama.
Filem tersebut turut membawa mesej bahawa penyembuhan tidak semestinya berlaku dengan melupakan kesakitan, sebaliknya memerlukan penerimaan, keikhlasan dan keberanian untuk berdepan perkara yang selama ini menghantui diri.
Pengarahnya, Guntur Soeharjanto sebelum ini menjelaskan mahu memberikan pengalaman berbeza kepada penonton dengan mengekalkan ‘roh’ watak Ustaz Adam, namun dalam masa sama membawa perjalanan cerita, karakter, sinematografi serta elemen visual yang lebih dekat dengan latar Indonesia.
Sementara itu, Acha turut menyifatkan kejayaan francais Munafik sebagai sesuatu yang wajar dibanggakan penonton Malaysia selepas karya tersebut menjadi inspirasi kepada pembikin filem di Indonesia.
Baginya, penerimaan terhadap Munafik membuktikan karya seram dari Malaysia mampu merentasi sempadan dan memberikan inspirasi kepada industri filem negara jiran.
Selain Arya dan Acha, Munafik: Melawan Iblis turut dibintangi Dimas Aditya, Nova Eliza, Widi Dwinanda dan Oce Permatasari.
Filem tersebut dijadualkan menemui penonton Malaysia bermula 1 Oktober ini dengan Astro Shaw bertindak sebagai rakan pemasaran di Malaysia.