Sekilas
- Tarian Etnik Borneo 2026 dianjurkan di Sabah untuk meraikan dan memelihara seni tari tradisional Sabah dan Sarawak melalui pertandingan dan persembahan kreatif.
- Acara tiga hari ini menekankan kepentingan mengekalkan keaslian budaya serta sejarah setiap tarian etnik sebagai warisan generasi akan datang.
- Program ini juga bertujuan memperkukuh perpaduan masyarakat dan membuka peluang kepada bakat tempatan untuk mengembangkan seni persembahan ke peringkat lebih tinggi.
Keunikan seni tari tradisional Sabah dan Sarawak terus diraikan menerusi penganjuran Tarian Etnik Borneo 2026 yang menghimpunkan penggiat seni, bakat muda dan komuniti kebudayaan dalam usaha memastikan warisan tempatan tidak ditelan zaman.
Program selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November itu berlangsung di Koisaan Cultural Village dan Dewan Hongkod Koisan, KDCA, Penampang, Sabah.
Dianjurkan Pertubuhan Peragaan Seni Native Borneo Sabah (PPSNBS) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), acara tersebut memberi peluang kepada peserta mempersembahkan kreativiti koreografi berteraskan seni tari etnik Borneo.
Menariknya, pertandingan itu bukan sekadar menilai keindahan persembahan, malah menekankan kepentingan mengekalkan keaslian, adat dan identiti masyarakat etnik menerusi olahan kreatif yang berasaskan kajian serta pemahaman budaya.
Pertandingan separuh akhir berlangsung pada 30 Oktober, disusuli majlis perasmian pada 31 Oktober sebelum acara kemuncak menerusi pertandingan akhir dan persembahan khas pada 1 November.
Pengerusi PPSNBS, Mohd Fazil Ajak berkata, setiap tarian etnik mempunyai kisah dan sejarah tersendiri yang perlu terus dipelihara agar tidak hilang daripada ingatan generasi akan datang.
“Setiap tarian etnik membawa kisah, sejarah dan identiti masyarakat yang mewarisinya. Melalui penganjuran TARIAN ETNIK BORNEO 2026, kami ingin memastikan warisan ini bukan sekadar dipersembahkan untuk tontonan, tetapi terus difahami, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kami percaya bahawa kreativiti dan tradisi boleh berkembang seiring. Apa yang penting, nilai dan keaslian budaya terus dipelihara supaya seni tari etnik Borneo kekal menjadi kebanggaan masyarakat Sabah, Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam masa sama, penganjuran tersebut turut menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat menerusi kepelbagaian budaya yang membentuk identiti kebangsaan Malaysia.
PPSNBS juga berharap program seumpama itu dapat membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk mengembangkan seni persembahan etnik Borneo ke peringkat lebih tinggi, termasuk menerusi jaringan kebudayaan dan kerjasama antarabangsa.
Selain memelihara tradisi, kekayaan seni budaya Sabah dan Sarawak turut dilihat mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai antara tarikan pelancongan budaya negara.
Penganjuran Tarian Etnik Borneo 2026 sekali gus menjadi antara usaha berterusan melahirkan pelapis seni budaya yang mampu memastikan khazanah warisan negara terus dihargai dan diwariskan kepada generasi seterusnya.