Pelakon, Shaheizy Sam menjelaskan dia mempunyai sebab tersendiri untuk tidak menambah atau menyediakan meja makan di bahagian luar kafe miliknya, Abdul’SS Cafe.
Menerusi hantaran di Threads, Sam berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kapasiti dapur yang masih belum mampu menampung jumlah pelanggan lebih ramai sekiranya meja tambahan disediakan.
Jelas Sam lagi, tindakan menambah meja di bahagian luar kafe sebelum ini bertujuan untuk mengurangkan tempoh pelanggan menunggu giliran.
Namun lain pula jadinya apabila perkara itu secara tidak langsung menyebabkan servis menjadi lebih perlahan.
“Yang Sam belajar, jangan cuba gendong semua kalau tak sanggup tercicir. Orang sanggup datang beratur pasal review positif kat @abdulsscafe.
“Risau pasal nak pastikan semua pelanggan tak perlu beratur lama, kita pun buka lah meja dekat luar, tapi kita terlupa yang sebenarnya kapasiti dapur kita tak mampu serve lebih dari yang sepatutnya.
“Ini buatkan servis jadi lambat. Sejak dari itu, Sam dah tak berani nak buka meja dekat luar dah sebab ‘servis’ kita sebenarnya sama penting sahaja dengan ‘sedap’nya dengan makanan kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sam turut memaklumkan pihaknya mahu memberikan tumpuan untuk meningkatkan kapasiti dapur terlebih dahulu sebelum menerima lebih ramai pelanggan.
“Jadi Sam akan cuba besarkan kapasiti dapur dulu, baru Sam akan jemput ramai ramai untuk datang okay?
“Yang dekat dekat Shah Alam kalau nak datang dulu, silakan. Mungkin tak lah kecewa sangat kalau tak ada meja berbanding orang yang datang dari jauh,” maklumnya.
Untuk info, pembukaan restoran piza Abdul'ss diabadikan sebagai tanda ingatan kasih terhadap arwah bapanya, Allahyarham Abdul Samad Jaaman yang meninggal dunia ketika aktor itu baru berusia 12 tahun.
Sumber: Threads @shaheizy_sam