Sekilas
- Drama Bulan Henti Bicara mendapat pujian netizen kerana jalan ceritanya yang menyentuh emosi sejak episod pertama.
- Lakonan Azhan Rani sebagai Jamali dan Ezzanie Jasny sebagai Zulfa menerima reaksi positif, manakala kemunculan Azar Azmi selepas tujuh tahun menyepi mencuri perhatian ramai.
- Penonton menganggap cerita drama ini dekat dengan realiti masyarakat, terutama isu pengorbanan dan kasih sayang dalam keluarga, menjadikan ia topik hangat sepanjang tayangan.
Baru dua hari megadrama Bulan Henti Bicara baru ditayangkan, tetapi komen-komen di media sosial sudah dipenuhi pelbagai reaksi daripada penonton.
Rata-rata penonton memuji jalan ceritanya berjaya menyentuh emosi sejak episod pertama lagi.
Antara perkara yang paling banyak diperkatakan ialah lakonan mantap Azhan Rani sebagai Jamali.
Kata netizen, watak tersebut berjaya membuatkan mereka geram, malah ada yang berseloroh mengatakan, jika Azhan membawakan watak seperti itu, maka secara automatiknya membuatkan mereka rasa menyampah.
“Kalau dah Azhan Rani pegang watak macam ni, memang automatik kita menyampah!" seloroh netizen.




Dalam masa sama, penonton turut memuji aktres Ezzanie Jasny yang membawa watak Zulfa dengan penuh penghayatan.
Ramai meluahkan rasa simpati melihat pengorbanan Zulfa yang sanggup mengenepikan kebahagiaan diri demi keluarga, sehingga ada yang mengakui episod pertama sahaja sudah cukup membuatkan mereka sebak.
Sementara itu, kemunculan yang paling mencuri perhatian semestinya Azar Azmi.
Selepas hampir tujuh tahun menyepi daripada dunia lakonan, ramai peminat meluahkan rasa gembira melihat Azar kembali ke kaca televisyen menerusi watak Faziah.
Ada yang mengakui mereka mula menonton drama ini semata-mata kerana ingin menyaksikan ‘comeback' pelakon tersebut, yang sebelum ini turut menjadi bualan apabila video kemunculannya di lokasi penggambaran meraih lebih sejuta tontonan di TikTok.
Selain memuji lakonan barisan pelakon, ramai netizen turut menyifatkan jalan cerita Bulan Henti Bicara sebagai dekat dengan realiti masyarakat.
Isu pengorbanan seorang anak, kasih sayang dalam keluarga dan penderitaan seorang wanita dikatakan membuatkan ramai penonton mengimbau pengalaman hidup masing- masing.
Melihat kepada sambutan hangat selepas episod pertama, ramai sudah mula membuat ramalan bahawa konflik antara Zulfa, Jamali, Faziah dan Afghan bakal menjadi topik hangat sepanjang tayangan drama ini.
Bulan Henti Bicara dibintangi oleh Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza, Hushairi Husain, Farah Ahmad, Azri Iskandar, Qireen Din, Myra Afrina, Qaseh Izwandy, Qaiyum Aiesha dan Nik Ramly.
Saksikan Bulan Henti Bicara setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104), dan boleh distrim menerusi Sooka.