Sekilas
- Tan Sri Michelle Yeoh menyamakan Kuala Lumpur sebagai pentas dan dunia sebagai penonton dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang mempromosikan kepelbagaian budaya dan seni Malaysia.
- Festival I LITE U di Bukit Bintang menjadi pembuka tirai kepada siri inisiatif budaya dan pelancongan TMM2026 dengan lampu-lampu yang melambangkan jambatan antara budaya, kreativiti, dan komuniti.
- Michelle Yeoh menyeru rakyat Malaysia untuk menunjukkan semangat keramahan dan mengalu-alukan kedatangan pelawat antarabangsa sebagai simbol masa depan gemilang negara.
Pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh, menyamakan Kuala Lumpur seperti pentas, manakala dunia sebagai penontonnya, sambil Malaysia membuka tirai 'persembahan' kepada pengunjung global sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Keselamatan Jalan Raya dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) itu berkata, kempen berkenaan bukan saja mempromosikan pelancongan, malah sebagai undangan terbuka kepada dunia untuk merasai kepelbagaian, kehangatan, kekayaan warisan serta kemeriahan kesenian Malaysia.
"TMM2026 bukan saja mengenai pelancongan. Ia jemputan untuk merasai kepelbagaian, kehangatan, simfoni kulinari dan kemeriahan kesenian kita," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Festival I LITE U di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis itu yang merupakan sebahagian daripada festival cahaya utama di ibu kota, menyaksikan kawasan ikonik terbabit bergemerlapan dengan lampu-lampu yang menonjolkan kemeriahan dan inovasi yang ingin ditampilkan Malaysia kepada dunia.
Yeoh berkata, lampu-lampu berkenaan bukan sekadar perhiasan tetapi juga simbolik 'jambatan' yang menghubungkan budaya, kreativiti dan komuniti.
Seniwati berasal dari Ipoh itu berkata, cahaya adalah simbolik kepada panduan dan harapan untuk masa depan, selain sebagai suar yang memberitahu dunia mengenai kehadiran Malaysia.
Pertama, ia memandu dan menerangi jalan ke hadapan. Kedua, ia sebagai suar yang memberikan isyarat kepada yang lain. 'Here we are'," katanya.
Berkongsi sentimennya terhadap ibu kota ini, Yeoh berkata, berdiri di tengah-tengah Kuala Lumpur, bandar raya yang mencorakkan impian masa remajanya, membuatkan beliau berasa bangga ketika negara bersedia untuk menyambut kehadiran pengunjung antarabangsa.
Pelakon bertaraf dunia itu berkata, cemerlangnya bandar raya itu malam ini menandakan bermulanya suatu kisah mengenai keindahan luar biasa, kekayaan warisan dan inovasi berterusan yang akan dikongsikan kepada dunia pada 2026.
Sambil menyeru rakyat Malaysia supaya menerapkan semangat keramahan, beliau menggalakkan mereka menunjukkan makna sebenar hospitaliti Malaysia, dan berkata negara mengalu-alukan kedatangan pelawat dari jauh dan dekat.
"Biarlah cahaya ini memancar sebagai lambang masa depan gemilang yang kita bina bersama," katanya.
Festival I LITE U adalah acara pembuka tirai kepada siri inisiatif budaya serta pelancongan sempena TMM2026, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi global bagi warisan, seni dan inovasi. -BERNAMA