Sekilas
- Caitlin Halderman meluahkan rasa simpati terhadap situasi jerebu yang masih teruk dan memberi kesan kepada beberapa kawasan termasuk Malaysia dan Singapura.
- Pelakon itu menjelaskan keadaan di Jakarta lebih dipengaruhi oleh aktiviti gunung berapi berbanding jerebu dari Kalimantan yang lebih teruk di kawasan lain.
- Caitlin kini membintangi siri seram psikologi Viu Original, The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan), yang mula ditayangkan pada 18 September 2026 secara eksklusif di Viu.
Pelakon Indonesia, Caitlin Halderman meluahkan rasa simpati terhadap situasi jerebu yang masih berlaku sehingga memberi kesan kepada beberapa kawasan.
Menurut Caitlin, keadaan tersebut masih agak teruk dan dia sedih melihat situasi berkenaan berlarutan sehingga kini.
“Ya, masih agak teruk. Cuma saya tinggal di Jakarta jadi sebenarnya Kalimantan dan rakan-rakan di sani masih lebih dekat dengan kawasan ini berbanding Jakarta.
“Saya pasti kamu semua lebih terkesan berbanding kami yang berada di Jakarta,” katanya.
Caitlin berkata demikian ketika ditemui di Malam Gala & Tayangan Perdana Viu Original - The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) di TGV Pavilion Damansara Heights pada Selasa.
Pada masa sama, Caitlin juga mengakui penduduk di Jakarta terkesan dengan keadaan tersebut, namun situasi yang mereka hadapi berbeza kerana lebih berkait dengan aktiviti gunung berapi.
Aktres yang membintangi drama Dia Perempuan Sialan itu juga berharap dirinya dapat melakukan sesuatu untuk membantu, selain mendoakan agar situasi tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Di Jakarta memang kita terkesan, tetapi ia lebih kepada gunung berapi kerana lokasinya lebih dekat dengan kami berbanding Kalimantan. Saya sedih melihat perkara ini masih berlaku sehingga sekarang.
“Saya harap saya boleh melakukan sesuatu mengenainya dan semoga semuanya cepat selesai. Saya tahu perkara ini memberikan kesan yang sangat besar, bukan Indonesia sahaja tapi Singapura dan Malaysia juga.
“Jadi, saya harap semuanya dapat diselesaikan tidak lama lagi,” ujarnya.
Sekadar info, Caitlin Halderman kini tampil menerusi siri seram psikologi Viu Original, The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan).
Selain Caitlin, turut membintangi siri arahan Erma Fatima itu adalah Meerqeen, Hannah Delisha, Datin Sri Umie Aida dan Amerul Affendi.
Siri 12 episod berkenaan menggabungkan elemen seram supernatural, thriller, misteri keluarga dan cerita rakyat Melayu, selain mengetengahkan tema dendam, pengkhianatan serta rahsia yang tersimpan dalam sebuah keluarga.
The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) mula ditayangkan secara eksklusif di Viu pada 18 September 2026, dengan episod baharu disiarkan setiap Selasa dan Rabu.