Sekilas
- Wani Kayrie menegaskan lagu Cak Cak Cekuk bukan eksperimen, tetapi langkah strategik untuk membentuk identiti muziknya.
- Dia sudah mencuba pelbagai genre sebelum ini, namun lagu tersebut berjaya membuatkan orang kenal dengan muzik Wani Kayrie.
- Wani berharap lagu terbaharunya, Pulang, dapat memberi keselesaan dan kegembiraan kepada pendengar sambil meneruskan kesinambungan muzik Cak Cak Cekuk.
Penyanyi Wani Kayrie menafikan lagu Cak Cak Cekuk merupakan satu eksperimen sebelum tampil dengan single terbaharunya berjudul Pulang.
Sebaliknya, Wani menjelaskan lagu tersebut merupakan langkah yang dirancang bagi membentuk identiti muziknya agar lebih mudah dikenali dalam kalangan pendengar.
Menurut Wani, sebelum ini dia sudah mencuba pelbagai genre muzik sejak menyertai industri hiburan, namun masih belum menemui sebuah karya yang benar-benar sinonim dengan dirinya.
"Sebenarnya, Cak Cak Cekuk bukan eksperimen. Memang dari awal lagi saya dah buat keputusan untuk jadikan lagu-lagu sebegini sebagai identiti baharu Wani Kayrie.
"Kalau nak kata eksperimen, saya dah banyak bereksperimen dengan pelbagai genre sejak selepas Big Stage lagi. Sebelum ini kita tengok tak ada lagi satu lagu yang betul-betul membuatkan orang kenal, 'Oh, ini lagu Wani Kayrie.'
"Alhamdulillah, Cak Cak Cekuk diterima ramai dan orang dah tahu muzik Wani Kayrie macam mana," kata Wani ketika dihubungi Gempak.
Dalam pada itu, Wani mengakui setiap penyanyi pastinya mengharapkan lagu yang dihasilkan menjadi hit, namun dia memilih untuk tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
Menurutnya, dia kini lebih menghargai penerimaan pendengar berbanding terlalu mengejar populariti.
"Semestinya saya mengharapkan semua lagu saya berjaya. Tapi saya tak boleh letak harapan terlalu tinggi sebab kadang-kadang bila kita terlalu berharap, benda itu tak menjadi.
"Harapan utama saya adalah supaya orang yang mendengar lagu Pulang ini berasa gembira dan selesa sebab lagu ini sangat santai, serta mengimbau kembali waktu-waktu muda.
"Bila orang suka, mereka akan terus mendengar, berkongsi lagu ini dengan orang lain dan menyebarkannya. Itu lebih penting buat saya selain lagu ini menjadi popular.
"Sebab itu kita cari sebuah lagi single yang ada kesinambungan dan persamaan dengan Cak Cak Cekuk, iaitu Pulang," Tambahnya.