Sekilas
- Kashika Selvam mengenang pengalaman berharga menemubual Tun Dr. Hasmah dan Tun Dr. Mahathir kira-kira lapan tahun lalu dalam program Gempak, ‘Hello Tuns’.
- Antara momen istimewa adalah ketika Tun Hasmah bermain piano sementara Kashika menyanyi lagu Rasa Sayang dan lagu Raya, serta gelagat Tun Hasmah yang sporting buat video TikTok.
- Kashika terkesan dengan keperibadian humble dan mesra Tun Hasmah, yang pernah berkata Kashika mengingatkan beliau kepada cucunya.
Penyanyi dan pelakon, Kashika Selvam mengimbau kembali kenangan manis ketika berpeluang menemubual YABhg. Tun Dr. Hasmah binti Mohamad Ali dan Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi program Gempak, ‘Hello Tuns’ kira-kira lapan tahun lalu.
Menurut Kashika, 19, antara momen paling diingatinya adalah ketika Allahyarhamah bermain piano sambil dia menyanyikan lagu Rasa Sayang serta sebuah lagu Raya.
“Lapan tahun lepas, saya dapat temu bual Tun Mahathir dan Tun Hasmah sempena hari lahir mereka.
“Kenangan kegemaran saya sepanjang temu bual itu adalah ketika bersama Tun Hasmah. Dia bermain piano sementara saya menyanyi. Masa itu kami nyanyi Rasa Sayang dan sebuah lagu Raya,” katanya kepada Gempak.
Kashika berkongsi perkara tersebut selepas menghadiri Rancangan Khas: Tun Dr Hasmah, Dalam Kenangan di Astro Bukit Jalil, semalam.
Selain bernyanyi bersama, Kashika turut terkenang gelagat Allahyarhamah yang ‘sporting’ apabila diajak menghasilkan video TikTok meskipun ketika itu kurang arif mengenai aplikasi tersebut.
“Paling saya suka, saya buat TikTok dengan Tun Hasmah. Masa itu Tun Hasmah tak tahu sangat pasal TikTok, jadi dia cakap, ‘Okeylah, buat je, buat je’.
“Lepas itu dia cakap, ‘Haa, inilah budak-budak zaman ini, mereka memang buat apa-apa entah’. Momen itu sangat menyentuh hati,” ujarnya.
Biarpun hanya meluangkan masa sekitar dua jam bersama pasangan berkenaan, Kashika berkata keperibadian Tun Dr. Hasmah meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya.
Katanya, sikap Allahyarhamah tidak berubah sama ada ketika kamera sedang merakam mahupun sebaliknya.
“Saya dapat dua jam sahaja dengan Tun Hasmah dan Tun M, tapi lebih banyak masa dengan Tun Hasmah.
“Sejujurnya, on camera atau off camera memang sama. Tun Hasmah sangat humble, sangat friendly dan sangat motherly. Bagi saya, dia beri ‘grandmother vibes’,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Allahyarhamah pernah memberitahu Kashika bahawa dirinya mengingatkan kepada cucunya.
“Dia pernah cakap, ‘You remind me of my granddaughter’. Memang sangat menyentuh hati. Saya sangat rindukan momen itu,” katanya.
Kashika dalam masa sama bersyukur rakaman temu bual tersebut kembali mendapat perhatian ramai kerana membolehkan lebih ramai menyaksikan sisi mesra dan bersahaja Allahyarhamah.
Katanya, dia juga berterima kasih kepada bapanya yang mendorong dirinya menerima peluang berkenaan kerana menyifatkannya sebagai pengalaman sekali seumur hidup.
Sekadar info, YABhg. Tun Dr. Hasmah binti Mohamad Ali meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 16 Rabiulakhir 1448H.