Sekilas
- Catriona Ross menegur pengacara majlis yang berkongsi pengalaman kurang baik tentang klien di media sosial kerana ia dianggap tidak beretika dan boleh merosakkan reputasi profesional.
- Catriona menegaskan pentingnya pengacara menjaga sikap bersyukur dan profesional walaupun menghadapi situasi majlis yang tidak sempurna.
- Catriona juga berkongsi pandangan bahawa pengacara perlu bijak mengendalikan majlis supaya menjadi pengalaman yang indah untuk pelanggan.
Pelakon dan pengacara, Catriona Ross menegur tindakan seorang pengacara majlis yang didakwa berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika mengendalikan sebuah majlis perkahwinan menerusi media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, Catriona berkata tindakan menceritakan perkara kurang baik mengenai klien secara terbuka bukan sahaja tidak beretika, malah boleh menjejaskan reputasi dan profesionalisme seseorang pengacara.
“Terbaca about seorang emcee yang bercerita yang tak best pasal wedding yang dia acarakan on her stories.
“Client dia screenshot. Selagi namanya kita mencari rezeki dengan mengendalikan majlis, lebih baik kita tak usah bercerita pasal apa yang tak best.
“Satu, tak berkat, tak bersyukur. Dua, its unethical. Tiga, sangat unprofessional. Sudahnya nama sendiri yang rosak,” tulisnya.

Bagaimanapun kata Catriona, sebagai individu yang turut mencari rezeki dalam bidang pengacaraan, dia memahami bahawa tidak semua majlis berjalan dengan sempurna.
Namun, dia berpendapat seseorang pengacara perlu bijak mengendalikan situasi dan menjadikan sesebuah majlis sebagai pengalaman yang indah buat pelanggan.
“Saya faham sebab saya pun emcee jugak. Majlis tak selalunya sempurna tapi kita as emcee boleh turn the event into something wonderful,” coretnya.
Terdahulu, seorang pengacara majlis dikecam netizen selepas berkongsi mengenai majlis perkahwinan kliennya.
Menerusi hantaran di Instagram itu, pengacara itu didakwa seolah-olah menjatuhkan air muka kliennya.