Pelakon, Catriona Ross menyorot perhatian netizen selepas berkongsi tindakannya bersolidariti terhadap rakyat Indonesia yang kini berdepan suasana tegang akibat gelombang protes besar-besaran.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Catriona berkongsi tangkap layar pesanan 10 bungkus makanan yang dibuat melalui aplikasi e-hailing.
Bagaimanapun, pesanan yang dibuat itu bukan untuk dirinya namun ia dibahagikan kepada pemandu ojek disana.
“Semua pesanan ini buat kamu ya. Nak dibahagikan sesama kawan boleh, nak dibawa pulang untuk beri pada keluarga pun boleh. Semoga Indonesia cepat pulih.” pesannya kepada pemandu ojek.
Dalam pada itu, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu menegaskan bantuannya itu adalah untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat di sana.
Advertisement
“Saya turut serta membantu sebuah keluarga di Makassar. Bagi yang tak nak membantu, lebih baik diam. Bagi yang nak membantu, silakan.
“Beli makanan dan minuman pun bukan guna duit korang. Apa-apa pun, buat Indonesia, semoga esok akan lebih bercahaya,” tambahnya.
Tindakan murni Catriona itu menerima banyak pujian daripada netizen yang terharu dengan keprihatinannya terhadap nasib rakyat negara jiran.
Terdahulu, pelakon Puteri Sarah Liyana juga melakukan perkara sama apabila berkongsi rezeki bersama seorang pemandu ojek sebagai tanda solidariti atas tragedi rusuhan yang berlaku.
Sebagai makluman, Indonesia kini bergolak selepas Presiden Prabowo Subianto mengumumkan kenaikan elaun Ahli Parlimen sehingga mencecah sekitar Rp50 juta sebulan (RM12,869.35).
Keadaan menjadi semakin tegang selepas seorang pemandu ojek, Affan Kurniawan, maut akibat digilis trak ‘Barracuda’. Tragedi itu mencetuskan kemarahan besar rakyat sehingga mendorong protes berlarutan di beberapa wilayah.