Sekilas
- Catriona Ross sokong tindakan Fasha Sandha menegur pelakon yang selalu datang lewat ke set penggambaran kerana ia ganggu jadual produksi.
- Catriona faham kekecewaan Fasha sebab dia sendiri pernah berkorban masa untuk sampai awal ke lokasi dan tak mahu menunggu lama.
- Fasha tekankan pentingnya disiplin dan komitmen dalam industri serta nasihatkan pendatang baru supaya jaga disiplin kerja.
Pelakon Catriona Ross menyokong tindakan aktres Fasha Sandha menegur sikap pelakon kerap datang lewat di set penggambaran sehingga menyebabkan menganggu jadual produksi.
Menurut Catriona, dia memahami situasi Fasha yang sudah berkorban masa dengan meninggalkan rumah awal untuk berada di lokasi.
“Itu sesuatu yang saya akan buat juga kalau ia sudah melampau. Kalau sekali dua mungkin saya akan bisikkan pada penerbit dan pengarah sebab itu tugas mereka.
“Tapi kalau lama-kelamaan macam apa yang Fasha kena, saya faham dia punya irritation tu sebab kita pun ada planning, kita berkorban masa, tinggal rumah seawal boleh to get on set.
“Lepas tu sampai kat sana terpaksa menunggu berjam-jam. Jadi saya faham dah ia sesuatu yang saya rasa semua pelakon akan buat sebenarnya,” kata Catriona kepada Gempak.
Menganggap Fasha seorang yang menghormati masa, pelakon berusia 45 tahun ini juga berkata dia akan melakukan tindakan yang sama jika perkara tersebut berlaku pada dirinya.
“Saya setuju dengan tindakan Fasha. Dia dah berkorban masa dan dia hormati masa yang diberikan. Jadi bila kita bekerja dengan orang yang tidak menghormati waktu, memang akan menjadi satu isu pada kita sebenarnya.
“Benda tu tak boleh nak harmoni dekat set kalau kita menyimpan perasaan tak puas hati. Kadang-kadang mungkin kita suarakan pada penerbit tak endah.
“Jadi untuk orang kata, menyenangkan kerja kita, mungkin kita sendiri yang terpaksa bercakap dengan individu tersebut. Saya tak rasa salah, sebab kalau saya di tempat Fasha, saya akan buat benda sama kalau dia berulang kali la,” ujarnya.
Sebelum ini, Fasha meluahkan kekecewaan terhadap seorang pelakon yang kerap datang lewat ke lokasi penggambaran sehingga mengganggu jadual produksi.
Fasha memilih untuk tidak mendedahkan identiti pelakon tersebut dan berharap teguran melalui WhatsApp itu menjadi pengajaran.
Pelakon itu menegaskan disiplin dan komitmen adalah kunci kejayaan dalam industri dan menasihati pendatang baharu supaya menjaga disiplin.