Sekilas
- Cher merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya, Alexander 'AE' Edwards, pada ulang tahun ke-80nya pada Mei 2026.
- Walaupun jarak usia mereka 40 tahun, Cher dan Edwards sangat komited dalam hubungan yang telah berlangsung selama tiga tahun.
- Cher memuji Edwards sebagai sumber semangat baru dan menegaskan kebahagiaan mereka tidak dipengaruhi pandangan luar.
Penyanyi Cher dilaporkan merancang berkahwin dengan kekasihnya, Alexander 'AE' Edwards pada sambutan ulang tahun ke-80 yang jatuh Mei 2026.
Cher juga langsung tidak melihat jarak usia 40 tahun dengan lelaki tersebut sebagai halangan tetapi sudah bersedia memberi komitmen terhadap rumah tangga yang bakal dibina.
“Cher telah bulat hati mahu berkahwin sempena ulang tahunnya pada Mei depan.
“Dia melihat usia 80 tahun patut diraikan dengan sesuatu yang istimewa dan bersama Edwards mereka setuju memilih hari tersebut untuk berkahwin.
“Jarak usia bukan penghalang. Mereka sangat komited dengan hubungan yang dijalin,” ujar satu sumber kepada The Mirror.
Dalam satu temu bual dengan CBS Mornings tidak lama dulu, Cher memuji kekasih mudanya sebagai seorang yang sangat berbakat dan telah memberinya semangat hidup baharu.
Malah sewaktu ditanya tentang jarak 40 tahun usia di antara mereka yang menimbulkan skeptikal, Cher berkata: “Mereka tidak hidup dalam kehidupan saya.
“Tiada siapa yang tahu apa berlaku di antara kami. Kecuali kami berdua. Kami bahagia.”
Pasangan itu telah menjalin hubungan cinta selama tiga tahun. Penyanyi lagu The If I Could Turn Back Time itu sudah pernah dua kali berkahwin.