Perunding pengurusan, Chloe Lim meluahkan rasa syukur selepas dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2025.
Bagi Chloe, kemenangan tersebut bukan sekadar rezeki tetapi juga sebuah impian besarnya yang kini sudah menjadi kenyataan.
“Kesemua peserta lain memang hebat belaka. Saya cuma menjadi diri sendiri sepanjang pertandingan.
“Saya hanya tampil sebagai Chloe, itu sahaja yang boleh saya lakukan. Peserta lain juga tampil dengan keunikan masing-masing dan saya rasa itu sangat hebat.
Advertisement
“Mungkin malam ini rezeki berpihak kepada saya. Ini satu penghormatan dan saya sedang merealisasikan impian saya sekarang. Saya tidak pernah menjangkakannya, tetapi saya sentiasa berdoa untuknya.
“Saya hanya tahu bahawa saya akan memberikan yang terbaik walau apa pun yang terjadi. Saya teruja untuk melihat apa yang menanti dalam perjalanan akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Anak jati Kuala Lumpur ini akui bersedia untuk memberikan sepenuh komitmen bagi membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa, Miss Universe 2025, yang dijadual berlangsung di Thailand pada November nanti.
Menurut Chloe, tanggungjawab itu amat besar selepas wakil Malaysia tahun lalu, Sandra Lim, berjaya mencipta sejarah dengan menempatkan diri dalam Top 30 Miss Universe 2024 di Mexico.
“Dalam tempoh dua bulan ini, saya harap dapat mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin untuk benar-benar mewakili Malaysia di pentas dunia. Sudah tentu untuk pertandingan ini, terdapat aspek-aspek yang perlu diperhalusi dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk menang.
“Oleh itu, saya pasti akan memberikan komitmen 100 peratus dari segi fizikal, mental, dan emosi untuk bersedia bagi semua aspek,” ujarnya.
Naib juara pertandingan menjadi milik penasihat perniagaan Priyaa Simmi, 30, manakala tempat ketiga diraih model dan pempengaruh, Jen Li, 28.
Antara peserta lain yang turut bersaing termasuklah Bhadrani Nagendran, Chloe Chin, Elaine Cheah, Elina Cheah, Joey Leng, Kavita Sanglish, Keerthanaah Parthipan, Malveen Kaur, Priscilla Yap, Priyanka Sockanathan, Dr Ranmeet Jassal, Tan Su Jie, dan Valenice Tiong.
Tahun lalu, Sandra Lim berjaya menamatkan kemarau 54 tahun apabila nama Malaysia kembali dipanggil ke peringkat antarabangsa dengan kejayaan meloloskan diri ke Top 30 daripada 125 peserta Miss Universe 2024.