Sekilas
- Choi Soo Jong mengakui dia selesa hidup dengan tekanan perhatian orang ramai kerana ia membimbingnya ke jalan yang betul.
- Ha Hee Ra mendedahkan pernah terkejut dengan khabar angin tidak berasas dan menasihati anak-anak agar tidak mudah percaya cerita luar.
Pelakon Korea Selatan, Choi Soo Jong dan Ha Hee Ra berkongsi mengenai kisah rumah tangga dan keluarga mereka menerusi program bual bicara, You Quiz on the Block.
Pasangan yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-33 itu tampil dalam episod yang disiarkan baru-baru ini.
Antara perkara yang mencuri perhatian ialah pertanyaan pengacara program tersebut, Yoo Jae Suk, mengenai sama ada perhatian orang ramai terhadap kehidupan mereka menjadi satu beban.
Bagaimanapun Choi Soo Jong dengan jujurnya mengakui dia lebih selesa hidup dengan tekanan tersebut.
“Lebih baik untuk saya hidup dengan tekanan itu. Saya merasakan ia membimbing saya untuk terus berada di jalan yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, Ha Hee Ra turut mendedahkan dia pernah terkejut apabila mendengar khabar angin tidak berasas mengenai rumah tangga mereka.
“Pernah timbul khabar angin mengatakan Soo Jong minum arak, memukul saya dan kemudian merancang kejutan kerana berasa bersalah,” katanya.
Ha Hee Ra berkata, dia turut menjelaskan perkara itu kepada anak-anak mereka agar tidak mudah mempercayai cerita yang didengar daripada orang lain.
“Tidak kira apa yang kamu dengar, ibu dan ayah yang kamu lihat sendiri itulah kebenarannya,” katanya.
Untuk info, episod berkenaan mencatatkan rating isi rumah nasional tertinggi sebanyak 4.8 peratus, sekali gus menduduki tempat pertama dalam slot tayangannya bagi saluran kabel dan umum.
Menurut Nielsen Korea, program itu turut menduduki tempat pertama dalam slot sama bagi penonton berusia 20 hingga 49 tahun.
Malah, You Quiz on the Block turut berada di kedudukan ketiga dalam senarai program bukan drama televisyen paling mendapat perhatian bagi minggu kedua Oktober, berdasarkan ranking FUNdex oleh Good Data Corporation.