Sekilas
- Christine Hakim meluahkan kegembiraan dapat menonton Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 selepas tidak berpeluang menonton versi pertama pada 2006.
- Christine memuji lakonan watak Bayan oleh Nadia Aqilah dan Mimi Fly serta menyifatkan Mila Mohsin, anak Tiara Jaquelina, membawa watak Puteri Gunung Ledang dengan sangat baik.
- Beliau menegaskan PGL penting untuk generasi muda memahami sejarah dan nilai kekeluargaan antara Malaysia dan Indonesia melalui seni persembahan yang hebat.
Pesohor legenda dunia perfileman Indonesia, Christine Hakim melahirkan rasa teruja selepas dapat melunaskan impian menonton pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical 2026 selepas tidak berpeluang menonton versi pertama pada tahun 2006.
Christine merupakan pemegang karakter Bayan menerusi filem Puteri Gunung Ledang bergandingan bersama Puan Sri Tiara Jaquelina sebagai Puteri Gunung Ledang yang menjadi naskhah epik saat ditayangkan pada tahun 2004 silam.
Duduk di antara ribuan penonton dan menghayati perjuangan sahabat baiknya selaku pengarah muzikal, terbit rasa bangga tentang bagaimana karyawan seni yang sudah dikenali sejak lewat tahun 80-an itu menyimpan obor perjuangan besar dan konsisten untuk mementaskan PGL versi 2026 dengan sangat baik.
“Saya dapat merasakan energi keseluruhan pementasan ini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Tiara selama lebih 22 tahun ini mampu menjaga tenaga dan ‘rasa’ PGL.
“Saya rasa itu hal yang paling sukar,” ujar Christine saat ditemui Gempak secara eksklusif di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC).
Christine hadir menonton PGL pada pementasan malam ke-18 ditemani aktor Reza Rahadian.
Berbicara lebih lanjut mengenai PGL, terutama pada watak Bayan yang dimainkan dua aktres berkaliber Nadia Aqilah dan Mimi Fly, Christine menyifatkan karakter tersebut telah dibawa dengan cukup berkesan dan baik.
“Sangat baik, (Bayan). Bagus sekali lakonan mereka,” ujar Christine.
Mengenai Puteri Gunung Ledang yang kini rohnya dihidupkan oleh anak Tiara, Mila Mohsin, secara berseloroh, Christine mengatakan Mila telah menyelami karakter Puteri Gunung Ledang dengan ‘lebih baik’ berbandingTiara.
“Saat tahu Mila akan berperan sebagai Puteri Gunung Ledang, saya yakin dia akan menjadi lebih baik daripada ibuunya (Tiara),” ujar Christine sambil ketawa.
Beliau kemudian menyambung: “Saya sangat gembira melihat bagaimana Mila berperan sebagai Puteri Gunung Ledang.
“Saya kenal Mila sejak usia dia 7 tahun, saat kami menjalani pembikinan fIlem PGL. Itu sudah 22 tahun lalu dan sekarang Mila berumur 29 tahun.
“Melihat Mila di pentas, dia juga seperti ibunya, sangat serius dan fokus. Saya seperti melihat versi Tiara yang baharu dalam sosok Mila di PGL.
“Mila persis ibunya.”
Diminta mengulas tentang PGL, Christine, 69, menyifatkan ia sebagai naskhah yang sangat berguna terutama buat generasi baharu.
“Selepas 10 minit menonton pembukaan PGL, saya sifatkan naskhah ini sebagai masa depan Malaysia.
“Mereka telah membuat sebuah ensemble, pasukan di belakang mereka termasuk penerbitan dan di panggung sebagai seni persembahan yang sangat bagus.
“Namun lebih penting lagi buat saya, generasi muda perlu mengetahui lebih lanjut tentang sejarah kita.
“Kita adalah keluarga yang besar. Mungkin secara politik, kerajaan atau antara negara Malaysia - Indonesia misalnya kita lupakan.
“Kita ini adalah keluarga. Melalui PGL kita mengetahui sejarah latar belakang keluarga kita.
“Dan ini bagus untuk mengingatkan kita. Untuk mengingatkan generasi muda. Untuk mereka, mereka perlu mengetahui sejarah latar belakang keluarga kita,” ujarnya panjang lebar.
“Paling penting dalam keseluruhan naskhah muzikal ini adalah bagaimana kuasa cinta telah membenamkan ‘perkara lain’.
Sementara itu, Tiara menyifatkan kunjungan kedua-dua sahabat baiknya sebagai satu bentuk penghargaan dan inspirasi besar kepada seluruh produksi, terutama Christine yang mempunyai hubungan istimewa dengan perjalanan PGL sejak awal pembikinannya.
“Hadirnya Reza bersama Ibu Christine menjadi satu inspirasi besar kepada seluruh keluarga Puteri Gunung Ledang, terutama saya sendiri.
“Christine dan Reza merupakan teman baik saya dan saya pun tidak sangka mereka sanggup meluangkan masa untuk datang menyaksikan persembahan kami. Christine sangat istimewa bagi saya,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 23,000 tiket bagi 16 pementasan habis terjual dalam tempoh kurang 2 jam. Malah, persembahan tambahan Grand Finale yang bakal dipentaskan pada 17 November ini licin dalam masa 5 minit.