Sekilas
- Seorang wanita di Indonesia mengalami detik cemas apabila power bank dalam beg Christy Ng miliknya meletup, namun dia selamat tanpa kecederaan.
- Christy Ng menghubungi wanita tersebut dan menjemputnya ke butik untuk menggantikan beg yang rosak, namun wanita itu memilih beg yang sama untuk diberikan kepada adiknya.
- Jenama Christy Ng turut melancarkan kolaborasi eksklusif bersama KUDRAT 1968 dan tampil dalam drama dengan watak pembantu Tuan Pengetua Kudrat.
Baru-baru ini tular satu video memaparkan seorang wanita di Indonesia berdepan detik cemas apabila power bank yang dibawanya tiba-tiba meletup ketika sedang membawa beg keluaran Christy Ng.
Video tersebut turut mendapat perhatian pengasas jenama berkenaan, Christy Ng yang mengakui pihaknya terkejut melihat video tersebut.
Menurut Christy, pasukannya kemudiannya terus menghubungi wanita tersebut kerana risau akan keadaan dan keselamatannya.
“Sejujurnya, ketika kami melihat video itu, kami sangat terkejut dan beg tersebut langsung bukan perkara yang kami fikirkan. Kami cuma betul-betul risau sama ada dia okay atau tidak.
“Pasukan kami di Indonesia berjaya menghubungi dia dan syukurlah, dia selamat dan berada dalam keadaan baik,” kongsinya.
Melihat kepada situasi tersebut, pihak Christy Ng menjemput wanita berkenaan ke butik mereka bagi menggantikan begnya yang rosak kesan daripada letupan power bank tersebut.
Namun, apa yang menarik perhatian Christy adalah wanita tersebut tetap memilih beg yang sama seperti dipakainya ketika kejadian.
“Tapi akhirnya, dia tetap pilih beg yang sama seperti yang dia gunakan dalam video tersebut iaitu beg Russo yang sama.
“Dia beritahu kami beg baharu itu akan diberikan kepada adik perempuannya untuk digunakan ketika belajar di universiti. Ia mungkin satu perkara kecil, tetapi sangat bermakna buat kami,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Christy turut meluahkan rasa syukur apabila beg tersebut sedikit sebanyak dapat memberikan perlindungan dan keselesaan kepada wanita berkenaan.
Di akhir video, Christy mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memeriksa keadaan power bank, peranti elektronik, pengecas dan barangan lain yang digunakan setiap hari.
“Kami bersyukur beg itu dapat memberikan sedikit perlindungan dan sedikit rasa selesa kepadanya ketika melalui kejadian yang begitu menakutkan.
“Tapi lebih daripada segala-galanya, kami cuma gembira kerana dia selamat, tidak mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan baik.
“Jadi, tolong jaga diri dan pastikan anda memeriksa keadaan power bank, peranti elektronik, pengecas dan perkara yang anda gunakan setiap hari.
“Jaga diri dan ingat untuk sentiasa selamat, Indonesia,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, jenama Christy Ng tampil dengan kolaborasi istimewa bersama KUDRAT 1968: High Council menerusi koleksi eksklusif Christy Ng X KUDRAT 1968.
Kolaborasi tersebut memperkenalkan koleksi edisi terhad yang menampilkan beg dan stokin khas, sekali gus membawa elemen penceritaan daripada dunia High Council ke dalam gaya hidup dan fesyen.
Bukan itu sahaja, Christy Ng turut membuat penampilan istimewa dalam drama tersebut yang memegang watak sebagai pembantu kepada Tuan Pengetua Kudrat.
Sumber: Instagram