Sekilas
- Cikgu Shafi akan menyelamatkan kucing jalanan dan membawanya pulang setiap kali anak didiknya menang pertandingan nyanyian.
- Dia kini memelihara sekitar tujuh hingga lapan ekor kucing yang diselamatkan dari jalanan sebagai tanda kegembiraan atas kejayaan anak didiknya.
- Walaupun kecewa jika anak didiknya kalah, Shafi percaya setiap pertandingan adalah peluang untuk mereka belajar dan memperbaiki diri.
Guru vokal, Cikgu Shafi mengakui mempunyai cara yang tersendiri dalam meraikan kemenangan setiap anak didiknya dalam pertandingan nyanyian.
Menurut Shafi atau Syafizawati Sharif, setiap kali anak didiknya berjaya muncul juara, dia akan menggunakan rezeki yang diterima pada hari tersebut untuk menyelamatkan kucing jalanan dan membawanya pulang ke rumah.
"Saya gembira bila penyanyi itu berjaya dan kebanyakannya, alhamdulillah, kalau mereka menang memang make my day.
"Keesokan harinya saya akan buat satu benda, iaitu pergi ambil kucing jalanan dan bawa balik rumah," katanya kepada Gempak.
Menerusi perkongsian bersama Datuk Aznil Nawawi di Podcast Kita-Kita Aje, Shafi akui perbuatan itu memberikan kepuasan yang sukar digambarkan setiap kali anak didiknya meraih kejayaan.
Shafi berkata, ketika ini dia memelihara kira-kira tujuh hingga lapan ekor kucing yang kebanyakannya diselamatkan dari jalanan.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan melihat kejayaan anak didik, Shafi mengakui dia akan berasa sangat kecewa sekiranya mereka gagal meraih kemenangan.
Menurutnya, kekalahan anak didik sering membuatkan dia menyalahkan diri sendiri kerana merasakan tidak berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai guru vokal.
"Kalau murid saya kalah, saya rasa saya yang gagal. Memang saya akan rasa sangat kecewa. Saya fikir, mereka bayar saya untuk datang kelas, tapi akhirnya kalah pula. Rasa macam tak layak ambil duit mereka sebab saya tak dapat bawa mereka ke tempat nombor satu.
"Itu yang paling membuatkan saya sedih. Saya rasa mereka rugi kerana mendapatkan khidmat saya," ujarnya.
Bagaimanapun, Shafi tetap percaya setiap pertandingan memberi ruang kepada penyanyi untuk terus belajar dan memperbaiki diri.