Sekilas
- Saiful Apek berharap dua pelawak yang sedang berkonflik dapat menyelesaikan masalah mereka dengan matang kerana masing-masing sudah dewasa dan berkeluarga.
- Beliau mengakui hubungan dalam kumpulan Senario juga pernah diuji dengan perselisihan faham, namun mereka tetap bersatu demi projek bersama.
- Saiful Apek tidak mahu memberi nasihat secara langsung kepada pelawak terbabit, sebaliknya hanya mendoakan yang terbaik untuk mereka.
Ahli kumpulan Senario iaitu Saiful Apek berkongsi pandangannya mengenai kemelut antara dua pelawak yang menjadi perhatian baru-baru ini.
Menurut Saiful Apek, kedua-dua pelawak itu sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, justeru berharap mereka dapat menangani perselisihan dengan lebih matang.
“Bagi saya, mereka dah besar panjang, dah jadi bapa, dah jadi suami, patutnya pada sayalah dah boleh letakkan dia orang sebagai khalifah.
“Jadi, pada saya sebenarnya the world is changed by your example, not your opinion. Saya bukan nak angkat bakul, tapi tengok Senario.
“Kalau kata kami tak bergaduh, rugilah tak bergaduh. Adik-beradik kena gaduh, tapi bukan gaduh dalam gelanggang,” katanya kepada Gempak.
Saiful Apek berkongsi perkara itu ketika ditemui di acara GIG-Hard A Tribute To 3 Years Of Taufan Al-Aqsa di Live Fact, Petaling Jaya pada Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Saiful Apek mengakui hubungan sesama ahli Senario juga tidak terlepas daripada perselisihan faham, malah ada kalanya mereka berasa rimas dengan sikap masing-masing.
Bagaimanapun, jelasnya, perasaan itu tidak pernah menghalang mereka daripada kembali bersama apabila terlibat dalam sesuatu projek.
“Maaf nak cakap, saya tak boleh nafikan, kadang-kadang menyampahkan dengan ahli sendiri. Kejap dia ni kepala angin, kejap dia ni tak okay.
“Pada akhirnya, bila ada apa-apa projek, kami rindu nak duduk bersama. Contohilah kami ni memang dah menyampah dengan satu sama lain tapi kami boleh bersatu.
“Sebab kita rasa bila kita naik je pentas, kita tengok orang happy. Bukanlah kita hipokrit, ‘oh semata-mata nak bagi orang happy je, so kita kena buatlah, lagipun show must go on’.
“It doesn't work that way, sebabnya, itulahlah, saya selalu cakap, ukhuwah ni ibarat tasbih, ada permulaan, takkan ada pengakhiran. Itulah manisnya,” ujarnya.
Menganggap dirinya bukan individu yang layak memberi nasihat kepada dua pelawak itu, Saiful Apek bagaimanapun tetap sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka berdua.
“Sudah tentu, saya sendiri sebagai orang yang lama dengan sahabat-sahabat lain, mendoakan mereka. Ada yang cakap kenapa saya tak nasihat mereka.
“Saya bukan mak bapa dia orang. Mana saya boleh cakap, saya cakap, mana yang boleh saya tegur, saya tegur,” ujarnya.