Isteri penyanyi, Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek tampil berkongsi coretan menyentuh hati selepas pengumuman mengenai perceraian mereka tular baru-baru ini.
Menerusi beberapa hantaran di Insta Stories miliknya, Dr Afifah atau lebih mesra dengan panggilan Dr Fie meluahkan rasa syukur walaupun perjalanan rumah tangganya tidak berakhir seperti yang diharapkan.
Advertisement
Menurut Dr Fie, walaupun cabaran dan ujian yang dilalui bukan mudah, namun dia memilih untuk melangkah dengan penuh ketenangan.
“Alhamdulillah untuk segala-galanya, walaupun babak yang tidak berakhir seperti yang saya harapkan. Perjalanan ini tidak mudah.
“Tetapi saya memilih untuk melangkah dengan hati yang tenang. Saya masih ada kasih dan sayang untuknya, dan saya benar-benar mendoakan kebaikan untuknya.
“Semoga Allah membimbing kami berdua ke jalan yang terbaik, menyembuhkan apa yang luka, dan menggantikan setiap kehilangan dengan rahmat-Nya,” coretnya.
Dalam hantaran yang lain, Dr Fie akui anak-anak merupakan sumber kekuatannya.
“Tak dapat tengok abah, tengok anak ibu sorang ni pun cukup dah,” tulisnya.

Terdahulu, Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi telah menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan kedua bagi kes berkenaan.
Dalam prosiding tersebut, Nubhan selaku plaintif diwakili oleh peguam syarie Mohd Redzuan Ramli, manakala pihak defendan (Dr Afifah) diwakili oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada tahun 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah.
Menurut peguam syarie itu, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.
Katanya lagi, perceraian kali ini berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham dalam rumah tangga.
Difahamkan, sejak kejadian itu pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung.
Sekadar rekod, Nubhan dan Afifah Hidayah juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.
Perkahwinan mereka diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.