Sekilas
- Kelly Azman mencuri perhatian netizen selepas berkongsi video nyanyian lagu "Cukup Sampai Sini" yang dipopularkan Nabila Razali.
- Video tersebut mendapat pelbagai reaksi termasuk cadangan lucu agar Kelly mewakili Malaysia ke Eurovision Asia 2027 dan sokongan daripada Nabila sendiri.
- Kelly menghargai setiap komen positif dan negatif serta berhasrat untuk terus berkongsi minat muziknya melalui video nyanyian lagu popular.
Selebriti versatil, Kelly Azman mencuri perhatian warga maya selepas berkongsi video nyanyiannya menerusi lagu Cukup Sampai Sini yang dipopularkan penyanyi Nabila Razali.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, malah ada yang berseloroh mencadangkan Kelly sebagai wakil Malaysia ke pertandingan nyanyian Eurovision Asia 2027.
Tidak menyangka menerima cadangan sedemikian, Kelly mengakui terharu dengan sokongan yang diberikan, meskipun menganggap perkara itu sekadar usikan pengguna media sosial.
“Sejujurnya, saya rasa terharu apabila ada yang mencadangkan nama saya untuk mewakili Malaysia ke Eurovision Asia 2027.
“Tetapi saya anggap perkara itu sebagai gurauan netizen sahaja. Apa pun, saya hargai setiap sokongan dan komen yang diberikan,” katanya.
Dalam pada itu, Kelly tidak menafikan turut menerima pelbagai kritikan dan kecaman susulan video nyanyiannya.
Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan komen negatif, sebaliknya melihat setiap reaksi sebagai sebahagian daripada perjalanan seninya.
Bagi Kelly, video nyanyian tersebut hanyalah satu bentuk hiburan selain peluang untuk berkongsi minatnya dalam bidang muzik bersama pengikut di media sosial.
Meskipun menerima reaksi bercampur-baur, dia tetap menghargai setiap komen dan sokongan yang diberikan.
Lebih menggembirakan, video nyanyian Kelly turut mendapat perhatian penyanyi asal lagu berkenaan, Nabila Razali.
Nabila turut meninggalkan komen pada perkongsian tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha Kelly menyampaikan lagu berkenaan mengikut versinya sendiri.
Perkara itu memberikan penghargaan tersendiri buat Kelly apabila hasil nyanyiannya turut mendapat perhatian penyanyi asal.
Mengulas mengenai perancangan akan datang, Kelly berharap dapat terus menghasilkan lebih banyak video nyanyian semula lagu popular daripada pelbagai genre.
Baginya, keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu dan berkongsi minat dengan orang ramai lebih penting daripada terlalu memikirkan pandangan negatif.
Kelly turut berharap agar terus diberikan peluang untuk berkarya serta menghiburkan peminat menerusi pelbagai bentuk persembahan.