Skip to main content

Viral

"Cuba Nyanyi Lagu Lelaki" - Shaffiq Erwin Cabar Amsyar Lee Jawab Tanggapan 'Suara Tipu'

"Cuba Nyanyi Lagu Lelaki" - Shaffiq Erwin Cabar Amsyar Lee Jawab Tanggapan 'Suara Tipu'

Sekilas

  • Guru vokal Shaffiq Erwin mencadangkan Amsyar Lee mencuba lagu penyanyi lelaki untuk menunjukkan identiti vokalnya yang sebenar dan menjawab kritikan suara 'tipu'.
  • Shaffiq menjelaskan teknik vokal Amsyar mirip countertenor dengan suara halus dan kawalan muzik yang baik, namun masih perlu memperkemaskan bunyi vokal agar lebih padu.
  • Shaffiq menasihatkan Amsyar dan penyanyi lain supaya berhati-hati meluahkan rasa kecewa di media sosial kerana ia boleh disalah tafsir dan memberi kesan negatif kepada kerjaya mereka.
Advertisement

Guru vokal, Shaffiq Erwin menyarankan penyanyi Amsyar Lee mencuba membawakan lagu penyanyi lelaki bagi memperlihatkan identiti vokalnya, sekali gus menjawab tanggapan segelintir pihak bahawa suaranya hanya bergantung kepada suara artis lain.

Menurut Shaffiq, sekiranya diberi peluang mengendalikan vokal Amsyar, dia akan mencadangkan penyanyi itu memilih lagu lelaki yang sesuai dengan karakter suaranya.

Advertisement

“Jika saya diamanahkan untuk menjaga dan membimbing vokal Amsyar, saya akan sarankan beliau untuk tidak langsung memilih lagu wanita untuk dinyanyikan.

“Contohnya, mungkin saya akan suruh dia menyanyi lagu Amir Masdi, Hazama atau Syamel, tetapi diubah supaya lebih sesuai dengan suaranya.

“Di situ mungkin pendengar dapat mendengar suara sebenar Amsyar yang sering dikatakan menggunakan ‘suara tipu’ itu,” katanya.

Bagaimanapun, Shaffiq tidak melihat Amsyar sebagai sengaja memalsukan suaranya ketika menyanyi.

Sebaliknya, pendekatan vokal tersebut disifatkan mempunyai persamaan dengan teknik countertenor yang lazimnya membabitkan penyanyi lelaki menyanyi dalam julat tinggi menggunakan falsetto atau head register.

“Melalui bunyi percakapannya pun kita boleh dengar warna suaranya memang halus,” katanya.

Menurut Shaffiq, warna vokal sebegitu mungkin masih asing kepada sebahagian pendengar tempatan.

Namun berdasarkan rakaman pertandingan yang pernah ditontonnya, Amsyar mempunyai ketepatan nada, kawalan pernafasan dan kepekaan muzik yang baik selain mampu mengendalikan lagu mencabar.

Cuma, Shaffiq melihat masih ada ruang untuk Amsyar memperkemaskan bunyi vokalnya supaya lebih bulat dan padu serta tidak kedengaran terlalu bingit atau seperti menjerit.

Amsyar sebelum ini mula mendapat perhatian menerusi video meniru suara beberapa penyanyi wanita termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Elizabeth Tan, Dayang Nurfaizah dan Jaclyn Victor.

Dia kemudiannya pernah meluahkan rasa kesal di media sosial terhadap kritikan bahawa dirinya tidak mempunyai identiti nyanyian sendiri.

Amsyar turut mendedahkan pernah gagal dalam beberapa sesi uji bakat tempatan sebelum menyertai pertandingan Sing! Asia pada 2025.

Mengulas perkara itu, Shaffiq berpendapat kegagalan dalam sesebuah uji bakat tidak semestinya berpunca daripada warna vokal seseorang.

Menurutnya, pemilihan peserta turut bergantung kepada keperluan sesebuah program termasuk format, keseimbangan peserta dan pertimbangan pihak produksi.

“Tidak semestinya tidak terpilih untuk sesebuah program atau pertandingan itu kerana anda tidak berbakat atau juri tidak suka awak,” katanya.

Dalam masa sama, Shaffiq mengingatkan penyanyi supaya lebih berhati-hati ketika meluahkan rasa kecewa secara terbuka di media sosial kerana ia boleh menimbulkan tafsiran berbeza.

“Sebagai public figure yang mencari rezeki dalam industri ini, seboleh-bolehnya cuba tahan diri daripada meluah di media sosial.

“Ia boleh memberi kesan semula kepada kita jika disalah tafsir oleh pihak yang membaca,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

GOOJODOQ TWS Bluetooth Earphone Stereo Bluetooth 5.3 Wireless Bluetooth Earphones

GOOJODOQ TWS Bluetooth Earphone Stereo Bluetooth 5.3 Wireless Bluetooth Earphones

70mai A800SE Dashcam 4K Resolution + HDR | Built-in GPS & ADAS | Supercapacitor | Dual-Channel | App Control

70mai A800SE Dashcam 4K Resolution + HDR | Built-in GPS & ADAS | Supercapacitor | Dual-Channel | App Control

Shokz OPENRUN PRO 2 Open-Ear Bone Conduction Sport Headphones | Noise Cancelling | IP55 Waterproof | Superior Sound

Shokz OPENRUN PRO 2 Open-Ear Bone Conduction Sport Headphones | Noise Cancelling | IP55 Waterproof | Superior Sound

GOOJODOQ Bluetooth 5.0 Wireless Smart Earphone

GOOJODOQ Bluetooth 5.0 Wireless Smart Earphone

Must Watch Video

Advertisement