Sekilas
- Hisyam Hamid memilih untuk menjaga jarak dengan wanita bagi mengelakkan salah faham dan gosip tidak benar.
- Dia kurang selesa dengan dakwaan bercinta yang sering dikaitkan dengannya dan mahu melindungi perasaan anak-anaknya.
- Hisyam akan kembali berlakon dalam filem aksi Black Ops: Operasi Serigala yang diarahkan oleh Syafiq Yusof.
Pelakon Hisyam Hamid memilih untuk menjaga jarak dengan mana-mana wanita bagi mengelakkan salah faham serta spekulasi yang boleh mencetuskan gosip tidak benar.
Menurut Hisyam, keputusan itu dibuat selepas berbincang bersama individu berkenaan dan kedua-dua pihak bersetuju untuk menjarakkan diri demi mengelakkan dakwaan atau khabar angin yang tidak diingini.
“Sebenarnya kami sudah lama kawan, anak-anak pun mengenalinya sama seperti mereka kenal kawan saya yang lain. Kami selesa bersahabat.
“Tiada yang berbeza pun dalam persahabatan kami ini. Cuma apabila khabar angin (bercinta) mula diperkatakan, kami menjarakkan diri,” katanya.
Hisyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Black Ops: Operasi Serigala, pada Selasa.
Tambah pelakon berusia 40 tahun itu, dia kurang selesa dengan gosip yang sering mengaitkan dirinya dengan mana-mana wanita.
“Bukan baru sekali dua saya didakwa bercinta. Apa pun, saya kurang selesa dengan gosip begini. Mungkin orang lain boleh terima, tetapi tidak saya,” ujarnya.
Atas sebab itu, Hisyam memilih untuk tidak terlalu rapat dengan mana-mana wanita bagi mengelakkan salah faham yang boleh menimbulkan spekulasi.
“Anak-anak pun makin besar. Sebagai ayah, saya rasa tak seronok kalau mereka baca gosip macam ini. Kenalah jaga perasaan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hisyam bakal kembali ke layar perak menerusi filem aksi Black Ops: Operasi Serigala arahan Syafiq Yusof.
Selain Hisyam, filem tersebut turut dibintangi barisan pelakon popular antaranya Sharnaaz Ahmad, Datuk Aaron Aziz, Andy Teh dan ramai lagi.